K berhenti di gerai menjual sayur. Dia mencari sayur petola. Sejak hari rabu lagi K teringin makan petola masak air bersama ayam goreng. Jadi pagi sabtu ini, K turun ke Paddy's Market mencari sayur-sayuran asia yang susah didapati di kedai biasa. Kalau bertuah, bunga kantan pun boleh jumpa terjual di sini. Air tebu pun ada walaupun rasanya kurang enak berbanding tebu di Malaysia.
K memilih sayur petola dengan berhati-hati. Ada pelanggan lain juga turut singgah di gerai tersebut. K hanya mendengar pelanggan tersebut berbual. Dari lenggok percakapan mereka K sudah tahu pelanggan tersebut juga dari Malaysia.
K ambil sebatang petola. Sebatang petola cukup untuk dia seorang makan. Lagi pun petola yang dijual agak besar dan sudah puas K pilih, tiada saiz kecil. Selepas ini K perlu cari suun pula. Suun sedap digandingkan dengan petola. Kadang-kadang K masak dengan ikan bilis. Kadang-kadang K masak dengan udang. Kalau tiada ikan bilis atau udang pun enak juga.
K bayar harga petola dan petola bertukar tangan. K ingin bergerak meninggalkan gerai tersebut tapi ada tangan menahannya. "Karimah," eh?
K menoleh pada empunya suara yang menegurnya. Seorang wanita yang sedikit berusia. siapa? "ya?" balas K dengan keliru. Melihat wajah wanita tersebut, K rasa dia tidak mengenali wanita tersebut.
"Ibu, Amad dah beli sayur kacang panjang dekat gerai sebelah sana," kedengaran suara lelaki dibelakang wanita tersebut. Eh? Serentak itu K dan lelaki tersebut berpandangan.
Ahmad.
"Karimah,"seru Ahmad dengan kaget. Risau pun ya. Kalau-kalau Karimah lari seperti hari itu.
K terkedu. Ini kali pertama K bertemu Ahmad selepas K beri jawapan. Juga kali pertama selepas pertemuan di Muzium Seni Kontemporari tempoh hari.
"kalau ada orang suka Karimah, apa patut Karimah buat?" soal K ketika dia menghubungi Izzat. K masih belum buat keputusan dengan lamaran Ahmad ketika itu dan cuba meminta pendapat Izzat, abang sulungnya. Perkara ini juga melibatkan keluarga dan penting untuk K memaklumkan pada keluarganya. Namun, sebelum K beritahu Abah dan uminya dia cuba bagi pembayang pada Izzat terlebih dahulu. Itu pun K takut-takut untuk bercerita pada Izzat.
"kenapa? Ada lelaki mat saleh nak masuk meminang Karimah ke?" Izzat tidak menjawab soalan K tetapi membalas soalan dengan nada bergurau. K telan air liur. Pandai Izzat serkap jarang.
"bukan lelaki mat saleh tetapi lelaki soleh," balas K dengan nada serius. Izzat ketawa dengan jawapan K.
"kalau betul,suka. Bagitahu Abah dan Umi," nasihat Izzat setelah puas ketawakan K. Walaupun gaya K dan Izzat bercakap seperti santai tetapi masing-masing memahami perkara yang dibincangkan.
"Abang tolong beritahu Abah dan Umi, boleh? Karimah tak tahu nak cakap macam mana," pohon K dengan takut-takut. Lagipun, K tidak pernah ada pengalaman seperti ini. K percaya Izzat boleh membantunya. Izzatkan sudah berkahwin, sudah tentu dia pernah mengalami keadaan begini. Seterusnya, K menceritakan bagaimana hubungan dia dengan Ahmad terjalin. Walaupun ada ketika Izzat mengusiknya, K hanya menebalkan muka. Sungguh dia tidak pandai urus perasaan dan hati.
"Abang doakan Karimah. Suruh Abah dan Umi doakan Karimah juga. Nanti bila Karimah ada jawapan, Karimah akan maklumkan pada semua," kata K sebelum dia menamatkan panggilan jarak jauh dengan Izzat. Lama K berbincang dengan Izzat tentang Ahmad. Siapa sangka selepas K beritahu keluarganya, K dengan tenang menerima lamaran Ahmad. Tiada lagi ragu-ragu seperti minggu sebelumnya. Izzat juga ada memaklumkan pada K bahawa keluarga Ahmad ada datang ke rumah untuk berkenalan dan berbincang tentang majlis pertunangan dan resepsi. K terasa masa berlalu dengan cepat walaupun sebenarnya proses itu berlaku dalam tempoh dua bulan.
Untuk dua bulan itu juga K dan Ahmad langsung tidak bertemu. Telefon menjadi alat komunikasi utama mereka. Kini, sekali lagi mereka bertemu tanpa dirancang di Paddy's Market.
Bila K nampak Ahmad, K jadi teringat perbualan dia dengan Izzat tempoh hari. "Karimah tahu apa maksud soulmate? Bila kita seru nama dia tiba-tiba sahaja dia muncul. Bila nampak dia rasa senang dan selamat," K rasa ingin mengiakan pendapat Izzat. Ahmad benar-benar muncul depan matanya.
"Kenalkan, ibu saya. Ibu, ini Karimah," suara Ahmad mematikan lamunan K pada Izzat. K serta-merta bersalam dengan Ibu Ahmad.
"Ahmad pernah tunjukkan gambar Karimah, sebab tu Ibu boleh kenal Karimah," jelas Ibu Ahmad pada K. Patutlah Ibu Ahmad selamba tegur K dan buat K rasa serba salah kerana tidak mengenali bakal mentua dia. Ahmad tidak pernah kongsi gambar keluarganya. Ini tidak adil. K memberontak dalam hati.
"oh, bila sampai Sydney?" soal K ramah. Sejujurnya, K rasa gementar bertemu dengan bakal mentua di pasar Sydney. Dia tidak pandai nak bermesra.
"tiga hari lepas, papa dan adik-beradik Amad semua ada. Lepas ni, mungkin tak dapat jalan-jalan ke sini dah," jawab Ibu Ahmad dengan gembira. Ia terserlah kerana Ibu Ahmad tidak melepaskan tangan K dari awal mereka berkenalan.
Mendengar jawapan Ibu Ahmad, K baru teringat. Ahmad ada memaklumkan padanya bahawa Ahmad akan kembali ke Malaysia. Kompeninya akan membuka cawangan di Malaysia pada hujung tahun nanti. Ahmad juga meminta K untuk mempertimbangkan cadangannya supaya K juga balik kerja di Malaysia. K masih belum beri keputusan. Sukar untuk K menurut kerana K suka tinggal di Sydney.
"oh, cari apa dekat pasar Paddy's ni?"sekali lagi K bertanya. Minda K giat berfikir mencari topik yang sesuai untuk berbual. Manakala hatinya pula menjerit mahu balik sekarang.
"oh, macam-macam. cari kacang panjang. Daun pandan. Nak masak lauk Malaysia," jawab Ibu Ahmad mesra seperti melayan anak sendiri. Ahmad dibelakang pula yang resah. Bimbang kalau K rasa kurang selesa. Dia tahu masalah K. Marisa sudah menceritakan peristiwa yang berlaku di Muzium Seni Kontemporari.
"hari ini Karimah lapang tak?" Ibu Ahmad terlebih dahulu melontarkan pertanyaan.
"hari ni saya nak masak..." tanpa sempat K menghabiskan ayat bicaranya Ibu Ahmad terus menarik tangannya.
"elok sangat. Jom, kita masak sama-sama. Ibu pun dah jumpa semua barang. Karimah boleh ikut ibu balik rumah Ahmad," eh? rumah Ahmad? Ajak Ibu Ahmad tanpa persetujuan K. K dan Ahmad berpandangan. Kaki K dengan lemah hanya menurut. Macam mana ni?
"Ibu, sekejap. Biar Ahmad cakap sekejap dengan Karimah," Ahmad segera bertindak menahan Ibunya membuat keputusan sesuka hati. Ahmad dan K bergerak jauh sedikit dari tempat Ibu Ahmad menunggu.
"kalau awak rasa tak selesa, saya bagitahu ibu awak datang lain kali," kata Ahmad dengan prihatin. K menunduk. Debar di hati masih belum hilang. K menarik nafas berulang kali.
"tak boleh nanti ibu awak kecil hati," jawab K setelah dia bertenang. K dilema antara menjaga hati bakal ibu mentua atau balik begitu sahaja.
"kalau awak kena panick attack?" soal Ahmad penuh risau. K memegang dadanya. Nampaknya rasa debarnya masih belum hilang. K terus bergerak mencari kerusi. Dia perlu duduk. Kakinya tiba-tiba rasa lemah. Ahmad hanya mengikut.
"awak okay?" tanya Ahmad apabila muka K nampak pucat. K hanya menggeleng. Ibu Ahmad menghampiri mereka. Ahmad memberi isyarat pada ibunya supaya tidak bertanya apa-apa. Ibu Ahmad seperti memahami dan duduk sebelah K. Dia memegang tangan K dan menyuruh K mengikut dia beristighfar. Lima minit kemudian, keadaan K bertambah baik.
"dah okay? Awak boleh balik kalau rasa tak sihat," sekali lagi Ahmad bertanya.
"tak apa. Saya ikut," K sebenarnya tersentuh dengan perhatian Ibu Ahmad terhadapnya. Ibu Ahmad hanya diam disebelahnya dan langsung tidak memandang jelek terhadapnya.
"betul ni?" Ahmad masih tidak percaya.
"ya," jawab K dengan yakin walaupun pakaian yang dipakainya agak kasual, K tidak peduli. Ketika Ahmad melamarnya di Muzium Seni Kontemporari tempoh hari, K juga berpakaian begitu. Lagipun, K hanya ke rumah Ahmad untuk makan bukan untuk majlis istimewa.
"kalau begitu, saya jemput Marisa sekali," Ahmad membuat keputusan tanpa meminta pendapat K. Ahmad benar-benar risau kalau panick attack menyerang K lagi. Jika Marisa ada bersama, K akan lebih selesa.
K tidak dapat menghalang Ahmad mengajak Marisa ke rumahnya. Mungkin lebih baik begitu. Ahmad, K dan Ibu Ahmad kemudian bergerak ke stesen Paddy's Market untuk menaiki light rail. Mereka akan menukar platform di Central untuk ke Hornsby. K masih ingat Ahmad pernah turun di stesen Hornsby pada tahun lepas dan berharap Ahmad masih menetap di situ. Sekurang-kurangnya dia dapat melihat gaya hidup Ahmad sebelum dia kembali ke Malaysia.
Dari stesen Hornsby ke rumah Ahmad hanya perlu jalan kaki 5 minit. Ahmad sebenarnya tinggal di apartment dua bilik. Walaupun dua bilik, ruang tamu dan balkoni agak luas dan K percaya ruang tersebut boleh menampung kehadiran keluarga Ahmad. K juga lega kerana Ahmad tinggal di tingkat satu. Tidaklah letih mereka memanjat tangga. Ahmad juga tinggal sendiri. Sebelum ini, dia tinggal berdua tetapi rakan serumahnya sudah berpindah kerja di Brisbane.
Ketika K sampai, Kakak Ahmad menyambut mereka. K tidak dibenarkan membantu Ibu dan adik beradik perempuan memasak. K ditugaskan menjaga anak saudara Ahmad, anak kepada kakak Ahmad yang berumur 18 bulan - Zakaria. Seperti yang diberitahu Ibu Ahmad, semua ahli keluarga Ahmad datang berjalan ke Sydney.
Dalam diam K rasa bersyukur menerima jemputan Ibu Ahmad. Ada hikmah K ikut Ahmad ke rumahnya. K dapat berkenalan dengan keluarga Ahmad. K juga baru tahu nama penuh Ahmad. Ahmad bin Jamal. Nama ibu Ahmad, Aminah binti Adnan. K rasa ia adalah satu pencapaian yang mengagumkan. Bila Marisa sampai nanti, boleh la K berlagak di depan Marisa.
K juga sudah hafal nama adik beradik Ahmad. Nama adik beradik perempuan Ahmad agak panjang berbanding nama adik beradik lelaki. Nama kakak Ahmad, Hawa Humaira dan adik perempuannnya, Asiah Amirah. Dua adik lelaki Ahmad pula, Adam dan Aliff. Sekurang-kurangnya K tahu dan kenal ahli keluarga Ahmad. Sebelum ini, Izzat ada menegur K kerana tidak mengambil tahu tentang latar belakang keluarga Ahmad.
Hanya Kak Hawa yang sudah berkahwin manakala yang lain masih bujang. Ini bermakna kalau K disatukan dengan Ahmad, K adalah menantu perempuan pertama dalam keluarga Ahmad. K tiba-tiba rasa dia bakal memikul tanggungnjawab yang berat. Kalau dia buat silap, tentu Ibu mentuanya akan memandang serong.
Zakaria tertidur ketika dia bermain dengan K. Gembira Kak Hawa apabila tahu Zakaria lena dengan K. Kata Kak Hawa, Zakaria susah tidur bila dia dengan orang asing. Kebetulan Ibu Ahmad dan adik beradik perempuan juga sudah siap memasak. Tidaklah K rasa kurang selesa tanpa ada kerja yang boleh dibuat. Ahmad bersama Papa dan adik lelakinya sibuk mengemas barang untuk dibawa balik Malaysia. Marisa sampai sepuluh minit kemudian ketika mereka semua sedia untuk makan tengahhari.
K ingatkan selepas makan tengahhari dan berbual seketika boleh terus pulang. Rupanya ia adalah hari Sabtu yang panjang buat K. Ibu Ahmad menahan K dari terus pulang dengan Marisa. Ada agenda tersembunyi yang dirancang oleh keluarga Ahmad.
"Ibu sudah jumpa keluarga Karimah dan Ibu sudah minta izin dengan ayah dan emak Karimah," ketika itu Ibu Ahmad, K, Kak Hawa, Asiah dan Marisa berada di dalam bilik. Suasana sangat serius menakutkan K. Dia masih belum mengerti apa tujuan dia dibawa ke dalam bilik ini. Ahmad dan yang lain-lain sambung mengemas barang yang entah bila akan habis.
Kak Hawa menyerahkan bekas cincin pada Ibu Ahmad. Marisa dan Asiah menjadi penonton sebagai saksi. Ibu Ahmad membuka bekas cincin dan menunjukkan cincin tersebut pada K. "Sebenarnya, memang Ibu ingin jumpa Karimah sebelum kembali ke Malaysia. Siapa tahu kebetulan kita berjumpa hari ini. Ibu tak boleh tunggu lagi. Ibu nak sarungkan cincin ni pada jari Karimah. Ayah dan emak Karimah juga berkenan dengan cincin ni," K serba salah mendengar pengakuan Ibu Ahmad. K sempat menjeling pada Marisa dan Marisa hanya memberi isyarat supaya K terima sahaja.
"errr...tak apa ke macam ni? Tak melanggar adat?" sempat K bertanya. Dia perlukan kepastian terlebih dahulu. Tak mahu dikata bakal menantu kurang beradab. Ibu Ahmad hanya senyum.
"tapi patuh syariah kan? Adat tu sebagai syarat sahaja," Kak Hawa mencelah yang duduk disebelah kiri K. Menjawab bagi pihak ibu dan keluarga Ahmad.
"kalau semua okay, saya ikut sahaja," balas K dan mengangkat tangan kanannya tetapi ditahan oleh Kak Hawa. K sempit sengih dengan kesilapannya. Dia terlupa sebenarnya. Kak Hawa kemudian membantu K mengangkat tangan kiri K dan Ibu Ahmad menyarungkan cincin di jari manis K. Asiah dan Marisa rupanya sudah siap sedia mengambil gambar. Siapa sangka makan tengahhari bertukar menjadi majlis pertunangan K dan Ahmad.
Ibu Ahmad juga memaklumkan bahawa pihak keluarga K setuju untuk dilangsungkan majlis perkahwinan pada tahun baru cina tahun depan. Ini bermakna enam bulan dari sekarang K akan diijab kabul dengan Ahmad. Hatinya tiba-tiba berdebar. Adakah dia benar-benar sudah sedia?
dua minggu kemudian, keluarga Ahmad kembali ke Malaysia dan Ahmad menyertai keluarganya pada minggu berikutnya kerana ada urusan kerja yang perlu diselesaikan. Ahmad juga diberi cuti sebulan sebelum dia mula bekerja di cawangan baru. Jumpa di Malaysia nanti, Ahmad!