K duduk dihadapan lukisan abstrak yang bertema aboriginal. Ada bangku sofa yang disediakan pada kawasan lukisan tertentu. Marisa masih belum sampai. K duduk seketika sambil menunggu Marisa. Dia sudah banyak berjalan hari ni. Tapak kakinya sudah mula rasa lenguh.
"Assalamualaikum, Yang Mulia," K kaku di tempatnya. Dia kenal suara itu. Yang Mulia. Tiada orang lain yang memanggilnya Yang Mulia kecuali lelaki soleh yang bernama Ahmad. Macam mana Ahmad boleh ada di sini?
"waalaikumussalam," K jawab salam Ahmad.
"saya yang yang suruh Marisa aturkan temu janji hari ini," Jelas Ahmad seperti tahu apa yang bermain di fikiran K.
"jadi, Marisa tak datang hari ini?" tanya K kalut.
Ahmad senyum. "Marisa ada. Dia dengan suaminya," kata Ahmad sambil menunjukkan kedudukan Marisa. Ya, Marisa ada dengan suaminya, Aaron di belakang K sedang ralit melihat lukisan abstrak. K merenung Marisa dengan rasa tidak puas hati. Sejak bila Marisa berkawan baik dengan Ahmad? Kenapa K tidak tahu?
Walaupun hujung minggu, keadaan di dalam muzium agak terkawal. Tidak ramai orang. Berbeza di luar, orang sangat ramai kerana muzium terletak di pusat tarikan pelancong. Itu antara sebab kenapa K suka pergi muzium. Kebanyakan orang kurang menghayati seni. Pada K seni itu sangat subjektif dan luas. Walaupun dia dalam bidang seni bina, masih banyak yang perlu dia pelajari. Dengan melawat muzium begini dia dapat belajar budaya orang Australia.
Ahmad menghulurkan fail hitam pada K. K memandang Ahmad dengan pelik. "untuk saya?" tanya K.
"bukalah," tutur Ahmad setelah K menyambut fail hitam tersebut. Mereka masih lagi duduk di bangku sofa tersebut. Fail hitam kelihatan sungguh misteri di mata K. Perasaan ingin tahu membuak-buak di hati K. Apa yang Ahmad ingin tunjukkan padanya?
Selepas dia baca bismillah dalam hati, K membuka fail tersebut. Profil seorang Karimah. Tajuk yang muncul pada muka surat pertama. K mengerling pada Ahmad. K meneruskan ke muka surat seterusnya. K telan air liur. Ini biodata dirinya.
Nama penuh: Karimah binti Ikram (Maksud Karimah : Mulia, Ikram : memuliakan)
Asal: Kelantan (makan budu?)
Negeri kelahiran: Kelantan
Status: Bujang
Umur: 28 tahun (ye ke? Macam 18 je)
Tarikh Lahir: 7 September 1990 (Soon)
Tinggi: 151cm
berat: 4*kg (Oops)
Warna kulit: Sawo matang
Bangsa: Melayu
Hobi : mendengar lagu selain bahasa melayu dan menonton movie
Pendidikan:
1995-1996 Tadika Hidayah
1997- 2002 Sekolah Rendah Islam Amal
2003 - 2007 Sekolah Menengah Islam Amal
2008- 2012 Universiti Teknologi Mara
2014 -2015 University of Newcastle
Pekerjaan: graduate architect (masuk tahun ketiga kerja di Sydney sekali dengan Michael, kan?)
Alamat email: K.karimah@gmail.com (Ada facebook sahaja. Tiada akaun sosial media yang lain.)
No. telefon: 04523854721 (nombor rumah malaysia?)
Alamat rumah: menetap di Newtown (5 minit jalan kaki dari stesen Newtown)
Bilangan adik beradik:
1. Izzat (sudah berkahwin)
2. Idlan (juga sudah berkahwin)
3. Kamilah (baru sahaja mendirikan rumah tangga)
4. Karimah (ooo..Atih)
5. Rahmah (masih bujang)
Nama bapa: Ikram bin Yusoff
Pekerjaan bapa: Peguam
Nama ibu: Zainab binti Zain
Pekerjaan ibu: Guru
K menahan diri dari tersenyum. Lucu dengan komen yang ditulis Ahmad sebelah biodata dirinya. K juga kagum dengan Ahmad. Gigih mengintip tentang latar belakang K. Lebih hebat dari rakan-rakan K intip sosial media Ahmad. Maklumat tentang latar belakang K adalah tepat. Mujur sahaja Ahmad tidak menulis nombor kad pengenalannya.
Pada masa yang sama, K rasa dia tidak adil. Ahmad awal-awal sudah tahu tentang K. Berbeza dengan K, K langsung tidak bersedia. Tidak bersedia kerana Marisa rancang senyap-senyap dengan Ahmad. Tidak bersedia sebab K tidak tahu. K rasa dia patut buat perkara yang sama seperti Ahmad buat padanya. K pun ada siasat latar belakang Ahmad juga secara tidak sengaja. Itu pun sebab rakan-rakannya selalu mengusik.
Ahmad hanya diam di sebelah K. Dia sedang memandang lukisan di hadapannya. Adakah dia menghayati lukisan tersebut K tidak tahu. K segera mengeluarkan telefon pintarnya. K buka mesej-mesej lepas berkenaan Ahmad.
Ahmad tahu K sedang menatap telefon pintarnya tetapi dia hanya membiarkan sahaja. Mungkin ada urusan penting yang perlu dia uruskan. Lagi pun Ahmad tidak pasti adakah K sudah habis menilik maklumat peribadinya itu. Tak apa, Ahmad. Perlahan-lahan. Ahmad memujuk hatinya.
Lima minit kemudian, K menghulurkan telefon pintarnya pada Ahmad. Ahmad memandang pelik. Kenapa pula K beri telefon pintar padanya? Telefon pintar K bertukar tangan. Ahmad mengambil dan melihat apa yang K ingin tunjukkan padanya. Giliran Ahmad pula menahan ketawa.
Ini serangan balas ke Karimah? Ada gambar kad namanya yang pernah Ahmad beri pada K.
Ahmad.
Electrical Engineer.
Solution Geoform.
Nombor telefon pejabat : 02 9484 2551
Alamat email : ahmad@solutiongeoform.com.au (ini bukan emel peribadi, kan?)
Ada tambahan coretan dari K. tiada akaun twitter. Ada Instagram dan Facebook(ada follower nama Leo, Andy dan Chan). Linkedin...hmm
"slide gambar seterusnya," arah K setelah pasti Ahmad melihat apa yang ingin dia sampaikan. Ahmad hanya menurut. Ada beberapa imej short screen perbualan antara K dengan rakannya.
suka travel atau backpacking. dah sampai ke New Zealand, Tokyo dan Turkey.
adik beradik ada 5 orang. Ahmad anak ke-dua(Angah rupanya).
tiga lelaki dua perempuan (eh,sama la!)
degree di RMIT Melbourne tapi kerja di Sydney (masuk tahun ketiga juga).
Diploma di UniKL. Sempat kerja di Malaysia dua tahun (saya setahun je).
Mungkin setahun tua dari K (saya tak tahu umur awak).
Asal or lahir Kl. Kampung di Kuantan dan Terengganu (tapi awak kata dari Seremban, macam mana tu?).
Lebih suka bermain badminton dari bola sepak.
dah sampai ke China. kerja di sana 6 bulan.
Masih bujang.
15 Jun 19_ _ (happy belated birthday yang ke-?)
"Nama saya Ahmad bin Abdullah. Papa saya asal Kuantan. Ibu saya asal Terengganu. Saya lahir di Keramat, KL. Sekarang papa dan mama dah pencen dan beli rumah di Seremban. Saya ada seorang kakak,seorang adik perempuan dan dua terakhir adalah adik lelaki. Dan, saya berumur 32 tahun. 4 tahun tua dari Karimah," ujar Ahmad setelah dia selesai membaca profil dirinya yang disediakan oleh K dengan cara yang unik. K hanya mengangguk. Dia cuba simpan maklumat Ahmad di dalam kotak memorinya.
K diam. Dia sebenarnya tidak tahu apa tujuan utama pertemuan dia dengan Ahmad. Ahmad kemudian mengajak K melihat lukisan seni yang seterusnya. K hanya mengikut. Ahmad mengambil semula fail hitam dari K. Dia tidak mahu K terbeban memegang fail tersebut. Dia ingin K santai berbual dengannya.
"boleh saya tahu apa tujuan awak buat semua benda ini?" soal K setelah mereka menilik dua lukisan. Hati K berdebar tidak senang. Ahmad hanya memandang K sekilas.
"sebelum saya jawab soalan awak, boleh saya tahu apa pendapat tentang perkahwinan?" Sebelah tangan Ahmad menyeluk poket jaketnya. Sebelah lagi masih erat menggenggam fail hitam.
"perkara yang menakutkan." spontan K jawab tanpa perlu dia berfikir panjang.
"kenapa?"tanya Ahmad lagi ingin tahu.
"sebab hubungan adik beradik takkan sama macam sebelum kahwin. Jauh dari abang dan kakak. Nak jumpa terhad. Juga, kena mesra dengan keluarga mentua. susah," petah K memberikan hujahnya.
"I thought marriage is beautiful thing for a woman?" Ahmad masih lagi dengan topik perkahwinan. Kadang-kadang keluar juga speaking englishnya. Bila sudah biasa tinggal di negara asing, secara tak sengaja bahasa perbualan mereka akan bercampur bahasa melayu dan bahasa inggeris.
"betul tapi perlu faham maksud perkahwinan sebenarnya. Berkahwin dengan orang kita sayang, indah. Perkahwinan adalah tanggungjawab bersama. Nak kena hidup susah senang dengan seseorang sampai hujung nyawa. Bukan hujung nyawa tapi sampai ke syurga,"
"jadi, perkahwinan ni sebenarnya baik ke buruk?" sengaja Ahmad bertanya begitu. Awal hujah K berbunyi negatif. Hujah seterusnya kedengaran positif. Ahmad mahu tahu pegangang K tentang perkahwinan.
K memandang Ahmad sekilas. Sekejap Ahmad buat dia rasa selesa. Sekejap Ahmad buat dia rasa gementar. "boleh saya jawab entah? sebab saya tak kahwin lagi. Awak macam mana? What do you think about marriage?"
"walaupun ia sunnah, as you said before ia adalah tanggungjawab bersama. Saling memahami dan saling mengingatkan. Menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing. Bukan asyik melepas tangan. Ia adalah tanggungjawab yang sangat berat sebenarnya," Ahmad sebenarnya gembira bila K tanya pendapatnya.
"betul. Kalau orang yang tak sedia nak kahwin, dia akan tengok perkahwinan satu beban. Kalau mereka yang dah sedia nak kahwin dia akan serius untuk menerima tanggungjawab. Boleh tengok keseriusan dia waktu meminang perempuan atau lelaki tu. Pada saya, bila sampai masanya, saya percaya Allah akan mudahkan urusan tersebut untuk saya." K cepat-cepat membuat kesimpulan. Dia sebenarnya takut sembang perkara serius begini dengan Ahmad.
"agree." Dia mengiakan kata-kata K. K dan Ahmad sama-sama bergerak ke ruangan lain. Ada arca besar berbentuk separa bulat di tengah ruang tersebut.
"boleh saya tanya satu soalan lagi?" tanya Ahmad setelah masing-masing berdiam diri. Ketika itu K sangat khusyuk membaca nota ringkas yang menjelaskan tentang arca tersebut.
"tanya lah," K mengalih perhatian dari arca kepada Ahmad.
"random question. Saya jumpa waktu tengah google sesuatu." Ahmad sedikit serba salah untuk bertanya. K hanya mengangguk dan menunjukkan kesediaannya dengan soalan yang bakal ditanya Ahmad.
"Ada tak perkara yang ingin awak kongsikan dengan saya? "Ahmad teragak-agak bertanya.
"oh. do you?" K terkelu. Memang soalan ini sangat rambang. Ada sesuatu yang muncul di minda K. K tidak tahu kesediaan diri untuk berkongsi perkara tersebut dengan Ahmad. Sengaja dia bertanya balik pada Ahmad. Dia ingin melihat apakah yang ingin Ahmad kongsikan terlebih dahulu. Semestinya Ahmad sudah ada jawapan pada soalan yang ditanyanya.
Ahmad mengangguk. "Bila saya tahu nama awak, saya hampir menggodam media sosial awal sebab saya langsung tak jumpa maklumat pasal awak dalam internet. Kemudian saya upah kawan saya yang kerja polis untuk siasat latar belakang awak. Profil yang saya tunjukkan ini adalah hasil siasatan kawan saya. Saya minta maaf,"Ujar Ahmad dengan rasa bersalah. K bungkam mendengar pengakuan dari Ahmad. Dia tidak pasti adakah dia patut marah atau biarkan sahaja. Lagipun, rakan-rakannya juga turut melakukan perkara yang sama.
"saya ada sebab kenapa saya hanya ada satu akaun media sosial. Rasa ini adalah perkara yang patut saya kongsikan. Ketika tahun akhir saya belajar di sini, saya alami depresi dan anxiety. Saya terpaksa hapuskan semua akaun yang saya ada dan kurangkan aktiviti saya di sosial media. Kawan-kawan lain tak tahu saya ada depresi. Hanya kawan-kawan di sini termasuk Marisa dan keluarga saja tahu. Bukan saya tak mahu mereka tahu cuma saya lebih fikirkan apa yang buat saya rasa bahagia dan tenang. Berkenaan pengakuan awak tu, saya rasa kita kosong-kosong. Saya pun buat perkara yang sama macam saya tunjukkan tadi," panjang lebar K menjelaskan keadaannya. Baginya, bukan sahaja menjawab pengakuan Ahmad tetapi Ahmad perlu tahu siapa dirinya.
"oh, saya minta maaf. So, how you feeling now?" Ahmad jadi hilang punca mendengar pengakuan K. Sungguh dia tidak menyangka dengan pengakuan K. Patutlah wajah K berubah tadi bila dia bertanya. Mungkin berat untuk K luahkan padanya.
" getting better. That's why i'm on leave for six month," balas K tenang. K rasa terbuka untuk berkongsi dengan Ahmad. Tadi wajahnya kelihatan tegang sudah berubah dengan senyuman yang ceria.
"dan saya sekarang, saya akan jawab soalan awak. Sebab utama saya buat benda ni. Buat kejutan jumpa awak. Siasat latar belakang awak. Dan terima kasih sebab sudi kongsi masalah awak pada saya....." K perasaan dengan suara Ahmad yang gementar. Sebab apa, Ahmad?
Pada masa yang sama, Marisa dan suaminya menghampiri K dan Ahmad. "minta maaf, K. Ahmad beria-ria nak jumpa dan want to asked you about this," Marisa mencelah tanpa sempat Ahmad memberitahu perkara sebenar. Berkerut dahi K. Masih belum dapat tangkap maksud apa yang sedang berlaku.
"Ahmad nak melamar kau jadi isteri dia,"Bisik Marisa. Ahmad beri ruang pada Marisa. K tidak berkata-kata. Dia hanya terus memeluk lengan Marisa dengan erat. Dia benar-benar tekejut.
"tak apa. Tak perlu bagi jawapan sekarang. Take your time. Let me know when you are ready," Ahmad segera menahan K dari memberi jawapan. Dia tahu K terkejut dan perkara ini benar-benar serius. Dia mahu K berfikir terlebih dahulu dan bukan ikut perasaan.
Ahmad, saya pun sudi. Namun, bukan itu jawapan yang keluar dari mulut K. "saya minta maaf. saya balik dulu,"
K terus berlalu meninggalkan Ahmad, Marisa dan suaminya begitu sahaja. Dia terasa seperti mimpi. Ahmad melamarnya. Ahmad juga suka padanya. Ini kali pertama perasaan ini hadir. Dia tidak tahu apa yang patut dia lakukan. oh, hati!