Selepas sesi kaunseling K dengan Rose, K merancang percutian solonya. Rose cuba pastikan K benar-benar mengambil cuti-tanpa-gaji selama 6 bulan. Bila K memaklumkan Rose bahawa dia akan bermusafir dalam dan luar Malaysia melalui projek sukarelawan yang jumpa di carian google. Rose begitu teruja seolah-olah dia yang akan bercuti. Dia juga tidak lupa memberi kata-kata yang positif supaya K tidak terus murung.
Ketika pertemuan tanpa sengaja K dan Ahmad, K benar-benar sibuk dengan perancangannya. Dia sungguh-sungguh lupa tentang kad nama Ahmad sehingga dia jumpa tempoh hari. sepanjang 3 bulan dia Malaysia, ada beberapa projek sukarelawan berkaitan dengan seni bina dan pembinaan dia sertai. Setiap minggu dia akan turun ke kampung orang asli untuk membina rumah untuk orang asli dengan menggunakan bahan yang mesra alam. Pada hari-hari biasa dia menjadi pelatih sukarela di Badan Warisan yang memulihara dan memelihara bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia. Ini termasuk mendokumentasi proses pemuliharaan dan latar belakang sesebuah bangunan bersejarah.
Sekarang dia di Thailand untuk projek sukarelawan peringkat antarabangsa. Kalau sebelum ini K pilih untuk sertai minimum selama dua minggu untuk sesebuah projek, kali ini dia pilih satu projek sahaja untuk tempoh 3 bulan. Projek sukarelawan sebelum ini telah memberi keyakinan kepada K untuk menyertai projek di Thailahd ini. Melalui projek sukarelawan itulah K mendapat pendedahan tentang projek sukarelawan lain yang boleh dia sertai. Rakan sukarelawan yang datang dari pelbagai negara yang sudah pengalaman tidak kedekut berkongsi ilmu dan pengetahuan. Mereka mempunyai hati yang ikhlas untuk membantu walaupun sedikit. Disamping itu juga, K juga dapat mengenali budaya dan gaya hidup masyarakat setempat.
K mula jatuh cinta dengan aktiviti sukarela begini. Walaupun projek sukarela ni di tempat terpencil, K seperti meneroka sebuah dunia baru. Dia rasa bahagia walaupun terhad dengan akses internet dan rutin hariannya penuh dengan pelbagai aktiviti bersama masyarakat. Sepanjang menyertai projek sukarelawan ini, K sudah mampu tidur lena dan tidak lagi bergantung dengan ubat tidur untuk merawat masalah insomnianya.
Thailand. Sudah dua minggu K tercampak di sebuah perkampungan terpencil. Kumpulan K sertai ada lapan orang semuanya. Tiga orang sukarelawan baru sampai bersama dengan K. Dua daripadanya perempuan dan seorang lagi lelaki. Ava dan Hui Wen gadis dari Australia dan Taiwan. Masing-masing menyertai projek sukarelawan kerana minat. Andrea pula satunya lelaki bujang asal dari Itali.K satu-satunya peserta dari Malaysia. Empat orang lagi sudah sebulan berkampung di situ. Ploy, Ketua K, lelaki dari Thailand sama negara dengan Nam. Nam seorang perempuan. Namanya juga tipikal warga Thailand. Senang untuk K ingat. Satu-satunya pasangan kekasih dalam kumpulan K merentas benua, Rui dari Jepun dan Olivia dari UK.
Hui Wen dan Nam datang menghampiri K yang sedang duduk memerhati remaja lelaki bermain bola sepak. Beginilah rutin K setiap petang sepanjang dua minggu. K memberikan senyuman pada Hui Wen dan Nam.
"kamu tahu, Ploy seperti berminat dengan Ava," Nam membuka cerita. Mereka sebenarnya bercerita dalam Bahasa Inggeris tetapi K sudah terjemahkan. K bukan suka sangat cakap dalam Bahasa Inggeris tetapi apakan daya bila berkawan dengan pelbagai bangsa, K haruslah berkomunikasi dengan Bahasa Inggeris. Bahasa universal kata orang.
K hanya diam memasang telinga. Nam sedang berbual dengan Hui Wen sebenarnya. K hanya kebetulan berada berdekatan dengan mereka jadi tidak salah untuk K turut mendengar. "Iya?" balas Hui Wen mendengar gosip tentang Ploy dan Ava. Nam mengangguk.
"Ploy pernah beritahu aku bahawa dia tidak pernah berkasih tapi sejak Ava datang, aku tengok Ploy lain macam pula," tambah Nam. Nam dan Ploy berkenalan melalui dari projek sukarelawan ini juga. Mereka pernah menyertai projek ini tahun lepas dan tahun ini mereka kembali lagi. Jadi, Nam dan Ploy ini seperti senior K untuk projek ini. Nam dan Ploy akan membimbing nanti. Ava, Hui Wen dan Andrea adalah peserta baru menyertai projek sukarelawan ini bersama dengan K. Tidak hairan kalau Ploy berminat dengan Ava kerana mereka baru sahaja bertemu dua minggu.
"lain macam mana?" tanya Hui Wen dengan pelat cinanya. Hui Wen tidak fasih berbahasa inggeris tetapi berusaha untuk berkomunikasi dengan bahasa tersebut. Itulah tujuan utama dia menyertai projek sukarelawan ini. Membantu sambil belajar. Sambil menyelam minum air. Menyumbang perkara bermanfaat untuk memperbaiki diri.
"sebelum ini dia selalu bersama-sama dengan kawan lelaki sahaja. Sejak Ava ada ni, dia selalu melekat dengan Ava. Kau tak perasan ke?" K menahan ketawa. Lenggok cara Nam bercakap hampir sama dengan mereka yang suka bergosip. K ingatkan orang melayu sahaja suka gosip begini. Bangsa lain juga sama. Tak kira lelaki atau perempuan. Kalau lelaki, contoh paling dekat Andy, Leo dan Chan. Dalam group whatsapp pun boleh sambung bergosip.
Begitulah setiap hari selama 3 bulan. Hui Wen dan Nam akan selalu duduk bersama dengan K dan mereka akan selalu berbual apa sahaja disekeliling mereka. Penduduk kampung juga termasuk dalam gossip mereka.
Ada juga ketika K turut terkena tempias. "K, kamu tidak punya kekasih? Masih bujang sehingga sekarang?" Nam tiba-tiba bertanya.
K tergamam. Tidak menyangka disoal begitu oleh Nam. "tak ada yang sudi," ujar K serba salah. Nama Ahmad menerjah diminda.
"tidak mungkinlah. Kamu cantik K. Takkan ada yang berkenan dengan kamu?" sangkal Nam. Hui Wen hanya menadah telinga. Nam lebih banyak mulut berbanding dia. K gelak mendengar jawapan Nam.
Benar, Nam. Walaupun sekali, K tidak pernah menerima sebarang pengakuan cinta dari mana-mana lelaki. Baik waktu dia sekolah menengah atau universiti. Dalam alam pekerjaan apatah lagi. K pun tidak pernah terima jemputan temujanji buta seperti kawannya yang lain. Sedihkan, kisah cinta K, Nam.
"kamu tidak pernah ada pujaan hati atau peminat rahsia?" Nam tidak berputus asa. Tidak percaya kisah percintaan K. Pertanyaan Nam kali ini menyebabkan K hilang kata. Pujaan hati? Peminat rahsia? K mengimbau kembali perbualannya dengan Marisa tentang Adam. Kisah Adam hilang seperti debu selepas itu. K memang lupa terus pada Adam. Setakat ni K tidak pernah ada peminat rahsia. Cuma....
K tidak tahu apakah status Ahmad di hatinya. Kalau ikut mulut-mulut becok kawan-kawannya, K seperti pengintip tegar Ahmad. Tetapi benarkah hatinya benar-benar sukakan Ahmad? K tiada jawapan. Rindu datang mula bertamu di hatinya. Ahmad....
Soalan Nam tiada jawapan dari K. Ia terus menjadi tanda tanya pada Nam. Tanpa sedar, 3 bulan berlalu dengan pantas. Penyertaannya di dalam projek sukarelawan ini telah membuka mata K. Hidupnya bukanlah semata-mata mencari cinta hati seperti yang dikisahkan oleh Nam dan Hui Wen. K lebih mengerti makna hidup. Hidup mencari cinta. Bukan cinta dengan lain jantina tetapi kepada cinta sesama manusia. Cinta kepada Tuhan.
Keputusan K menyertai projek sukarelawan ini tidak salah walaupun dia terputus hubungan dengan Ahmad. K mula yakin, ajal,jodoh dan rezeki sudah ditetapkan. Kalau benar Ahmad itu memang untuknya, pasti K akan bertemu lagi dengan Ahmad. Itulah doa K setiap hari.
Selepas projek ini juga, K masih lagi berhubung dengan rakan-rakannya yang lain terutama dengan Nam. Nam juga seperti Andy, Leo dan Chan masih tidak berputus asa ingin tahu penamat kisah cinta K. Nam masih belum tahu tentang Ahmad tetapi dia sangat yakin K akan bertemu belahan jiwanya nanti.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1439H
MAAF ZAHIR DAN BATIN



