Sunday, November 19, 2017

Lelaki soleh yang biasa

'I found a love for me..."

lagu Perfect dalam playlist K berkumandang. K tidak ingat bila dia muat turun lagu tersebut. mungkin automatic muat turun dari aplikasi whatsapp. Mesti ada seseorang hantar lagu yang K tidak perasan. 

Hari Jumaat, hari yang dinantikan. K naik keretaapi ke Newcastle untuk luangkan masa bersama temannya di sana. Serentak lagu dimainkan, ada lelaki tinggi mengambil tempat sebelah K. K hanya nampak pantulan bayangan lelaki tersebut di balik cermin. K mengambil nafas dan merehatkan matanya yang sudah penat membaca. Otak K juga perlu hadam apa yang dibaca untuk lebih faham dengan lebih mendalam. K hanya kaku bila lelaki tersebut duduk di sebelahnya. 

Strathfield. Antara stesen perhentian untuk  sampai ke Newcastle. Stesen yang mempunyai populasi tinggi mengambil penumpang. Terutama waktu puncak begini. Sebab itu K hanya membiarkan lelaki tersebut duduk di sebelahnya. semua tempat di hadapan, belakang dan kanan K sudah penuh. K tidak boleh bersikap penting diri dalam situasi begini. Dia pasti lelaki ini akan turun di antara Hornsby dan Gosford. Stesen pilihan yang ramai akan turun berbanding Newcastle. 

"assalamualaikum," sapa lelaki tersebut dengan senyum. Walaupun telinga K disumbat earphone K masih lagi mampu mendengar suara lelaki tersebut. K berpaling dan menjawab salam dengan lemah. Pasti lelaki ini juga muslim. Selalu K  menerima layanan begitu. Waktu K belajar di Malaysia dulu, K tidak akan jawab salam lelaki asing kerana salam yang mereka bukanlah ikhlas ( baca: ingin mencuri hati perempuan). K hanya jawab dalam hati. Berbeza di sini, apabila jarang- jarang jumpa orang Islam salam diraikan. 

K sempat analisa wajah lelaki tersebut. Dia nampak sedikit matang. Mungkin dia lebih tua 10 tahun dari K. Senyuman lelaki itu juga manis kerana matanya juga turut tersenyum. Ikhlas. 

"nak ke mana?" soal lelaki itu lagi. K jarang berbual dengan orang asing tapi lelaki muslim ini cuba beramah mesra dengan K. K juga membalas dan cuba berbual. Paling K tidak sangka apabila lelaki itu bercakap melayu dengan K. K membuat andaian bahawa lelaki ini mungkin dari Indonesia atau Singapura. Malaysia, K letak senarai paling akhir. K selalu elak untuk menghakimi rupa paras seseorang sebagai orang Malaysia. K pernah salah tegur orang Filipina dan K tak mahu salah sangka dengan silap pemerhatiannya. 

"asal mana? Saya asal Seremban," 

" Kota Bharu," 

"Belajar di sini?" 

"Kerja," soalan paling tipikal K terima. Fizikal K yang kecil dan nampak muda menyebabkan orang salah sangka. Semua orang akan ingat K masih belajar.  Jawapan K pula bergantung pada keadaan dan orang yang bertanya. Kalau memerlukan penjelasan lebar, K hanya akan iakan bahawa dia masih belajar. Pada lelaki ini, K lebih selesa jawab dengan jujur. 

keretaapi sudah bergerak. Perbualan antara K dan lelaki itu berhenti begitu saja. lagu perfect juga sudah hampir tamat dan K menyambung pembacaannya - Peranan Pemuda Muslim. K nampak di hujung matanya, lelaki disebelahnya mengeluarkan Quran kecil. K senang dengan lelaki sebelahnya. K juga suka-suka memanggil lelaki tersebut dengan pangilan Lelaki Soleh. K juga bukan perempuan yang gatal untuk tanya nama lelaki tersebut. Apatah Lelaki Soleh ini orang asing tidak penting untuk K tahu namanya.

K berhenti membaca 20 minit kemudian. Dia tidak boleh hadam lagi. Topik yang berat dan serius untuk K berfikir. Penat. K simpan bukunya dalam beg. Lelaki Soleh sebelahnya masih tilawah Quran. K memerhati tingkah laku lelaki soleh. Dalam diam, K kagum dengan Lelaki Soleh yang istiqamah dengan mutabaah amal. K hanya mampu tilawah quran dua muka sehari. Zikir pula jarang-jarang K buat. K tahu dia patut bawa Quran dan tilawah seperti Lelaki Soleh ini tetapi K masih belum ada kekuatan. Salah sebab tu K letak panggilan lelaki soleh kerana dia baik dengan diri sendiri dan juga buat orang ingin jadi baik juga. Satu perasaan yang buat K ingin jadi baik dengan ikhlas tanpa menghakimi orang lain cuba perasan jadi baik. 

"saya rasa saya pernah nampak awak dekat Sydney Airport dua minggu lepas," Lelaki Soleh menegur K kembali. Nampaknya Lelaki Soleh sudah selesai tilawahnya. K memandang Lelaki Soleh serta merta. 

" penerbangan dari Kul - Sydney? tiba awal pagi dan awak tertinggal passsport di kaunter isi borang declare barang," K merenung kosong Lelaki Soleh. K cuba ingat peristiwa yang diperkatakan Lelaki Soleh tersebut. Ya, setelah mendarat K lupa mengisi borang declaration yang wajib diisi untuk melepasi bahagian kastam. K isi dengan buru-buru dan hampir kehilangan passport atas kecuaiannya. Mujur ada seseorang yang mengembalikan passport milik K. K sudah ingat peristiwa tersebut tetapi K tidak ingat wajah seseorang itu. Namun, seseorang itu adalah lelaki soleh disebelah K ini.

K mengerutkan dahinya. " ya, saya hampir kehilangan passport tapi saya tak ingat orang yang kembalikan passport tu." jawab K serba-salah. Lelaki Soleh senyum.

"it's okay. Saya ingat sebab awak the only muslim woman in that flight," K tidak menafikan fakta lelaki soleh ini. Benar, penerbangan hari itu kebanyakan penumpang adalah orang Aussie berbanding orang tempatan, Malaysia. Kalaupun ada orang melayu pastinya K tidak sedar. 

Selepas itu, K dan lelaki soleh berhenti bercakap sekali lagi. K bukan kaki borak yang boleh ubah topik sekelip mata. Sungguh, K tidak pandai beramah mesra. K merenung smart phonenya. Bateri cukup untuk sampai ke destinasi. K buka applikasi whatsapp dan baca meseg yang diterimanya. 

Keretaapi berhenti lagi. Hornsby. Lelaki soleh sebelah K bangkit. Sekarang musim bunga tetapi suhu yang menentu kadang-kadang tinggi kadang-kadang rendah macam musim sejuk. K merenung belakang lelaki soleh yang makin hilang. Lelaki soleh memakai jaket blue black. Rambutnya lebat tidak panjang tidak pendek. Elok disikat kemas. K memandang air mineral sebelah tempat duduknya. Lelaki soleh sempat tinggalkan air mineral untuk K. K sudah check ia belum buka. 

"Assalamualaikum, jumpa lagi." kata-kata terakhir lelaki soleh sebelum mereka berpisah. K hanya angguk dan senyum. 

Keretaapi meneruskan perjalanan. K mengeluh. Perjalanannya masih jauh. 1 jam 45 minit lagi untuk sampai. K menyentuh dadanya. Perasaan yang dialami K dengan lelaki soleh sebentar tadi tidak sama perasaan K dengan Michael. K keliru dengan rasa hatinya. 

" Well I found a girl 
beautiful and sweet..." 

lagu perfect berkemundang sekali lagi. K semakin yakin rasa hati pada Michael adalah perasaan tickling yang sementara di hati K. Rasa hati K pada lelaki soleh tidak pernah K rasa sebelum ini. Cuma K tidak tahu apakah benar jodohnya itu adalah lelaki soleh. K tiada jawapan. Yang ada sekarang hanya rasa luar biasa di hati K. Luar biasa yang tidak mampu K gambarkan dengan perkataan. hanya satu perkataan bermain di minda K. INDAH! 



No comments: