Sunday, July 22, 2018

Dejavu II

Ahmad

Ahmad berpaling. Dia seperti mendengar seseorang menyeru namanya. Tiada orang yang dikenali. Semuanya penumpang dari China. Ahmad kemudian terus berjalan menuju ke kaunter imigresen. Dia memilih salah satu laluan untuk dia melepasi kaunter imigresen. Hampir kesemua laluan penuh dengan penumpang yang baru tiba. Ada beberapa pesawat dari negara lain baru sahaja mendarat.

Ahmad memeriksa passport dan borang pengisytiharan yang telah diisinya tadi. Ahmad mengangkat wajahnya. K. Karimah baru sahaja lalu dihadapannya. Mata Ahmad tidak berganjak dari susuk Karimah. Ke mana sahaja Karimah bergerak matanya turut mengikut. Dia tidak mahu kehilangan jejak Karimah. Lebih 7 bulan dia menanti Karimah menghubunginya.

Ahmad masih ingat pertemuan pertama dia dengan Karimah. September tahun lepas. Waktu itu dia juga ingin kembali ke Sydney. Ketika itu tidak ramai penumpang berbangsa Melayu kerana ia dalam pertengahanan semester. Jadi, dia boleh bilang dengan jari penumpang perempuan yang bertudung. Karimah berjaya mencuri pandangannya ketika dia duduk di ruangan menunggu sebelum masuk ke dalam pesawat. Karimah langsung tidak menyedari kewujudan Ahmad. Karimah juga seperti dia. Berkelana ke Sydney bersendirian. Bagaimana dia tahu? Kerana dia sudah lama memerhati Karimah. Tiada teman sama ada perempuan atau lelaki bersamanya. Ia sangat ketara apabila Karimah duduk selesa berdekatan dengan pelancong Australia dan asyik merenung telefon pintarnya sehingga dipanggil masuk. Ahmad masih ingat lagi Karimah memakai tudung hitam bercorak abstrak warna emas.

Kali ini, Karimah juga memakai tudung yang sama. Nampaknya Karimah sudah berhenti ruangan menuntut beg di kaunter F. Kini giliran Ahmad di kaunter imigresen. Karimah masih di situ. Ahmad kemudian berlalu ke ruangan kaunter menuntut beg di kaunter K selepas pegawai imigresen mengembalikan dokumen Ahmad. Beg di kaunter Ahmad sudah banyak yang keluar. Ahmad mencari begnya terlebih dahulu. Matanya masih tetap pada Karimah.

Ahmad masih ingat di lapangan terbang ini juga pertama kali dia menegur Karimah. Dari dalam pesawat lagi Ahmad memerhati Karimah. Keluar dari pesawat pun, Ahmad mengekori Karimah dari belakang. Sengaja dia berjalan perlahan mengikut rentak Karimah yang sangat santai. Dia juga sengaja mengisi semula borang pengisyhtiharan apabila melihat Karimah mengisi borang tersebut. Padahal dalam pesawat tadi dia sudah isi siap-siap. Urusan hatinya dipermudahkan ruang sebelah kiri Karimah kosong. Dia mengisi borang tersebut. Karimah langsung tidak peduli. Sempat dia mengintai passport Karimah. Dan lebih membahagiakan apabila Karimah tertinggal passportnya.

Inilah peluangnya, "miss, your passport," sengaja dia bertutur Bahasa Inggeris. Malah, dia sempat membaca maklumat Karimah sebelum dia kembalikan passport Karimah.

"thanks," ucap Karimah dan berlalu pergi.

Ahmad memeriksa bagasinya sekali lagi. Hanya satu beg yang perlu dituntut. Satu beg lagi dia bawa bersama ke dalam pesawat. Ahmad menarik kedua begnya. Dia tidak ke bahagian kastam. Sebaliknya dia menuju ke kaunter F. Ahmad menghampiri Karimah. Karimah masih seperti pertama kali dia melihatnya. Karimah sedang merenung telefon pintarnya. Ahmad mencuit bahu Karimah dengan passportnya. Karimah menoleh.

"Assalamualaikum, Yang Mulia," Tegur Ahmad dengan teruja. Ahmad nampak reaksi Karimah yang terpana dengan kehadirannya. Ahmad rasa bukan sahaja mulutnya tersenyum manis. Malah matanya turut tersenyum. Karimah masih kaku untuk beberapa ketika.

"Karimah," Ahmad melambai pada wajah Karimah yang tidak berkelip. Karimah seperti sedang berkhayal. Ini Ahmad, Karimah!

"waalaikumussalam. Macam mana ada di sini?" Akhirnya keluar juga suara Karimah. Karimah jelas terkejut dan keliru.

"baru sampai dari China." ulas Ahmad dengan gembira. Karimah masih tidak berkelip memandang Ahmad. Awak gembira jumpa saya, Karimah? tanya hatinya.

"tunggu beg?" Sengaja dia bertanya begitu. Dia masih ingin mendengar suara Karimah. Selepas mendengar soalan dari Ahmad, Karimah cuba mencari begnya.

"tak keluar lagi," jawab Karimah lemah. Ahmad mengangguk. Ahmad memandang sekeliling. Suasana sangat kelam-kabut. Hingar-bingar. Ada yang kalut mencari beg. Ada yang kalut nak beratur. Macam-macam.

Situasi yang kalut itu mengingatkan Ahmad tentang pertemuan kedua mereka di dalam keretapi. Ketika itu, hatinya ingin bertemu dengan Karimah. Hari itu hari jumaat, selepas pukul 5 orang ramai bersesak menaiki keretapi untuk pulang hujung minggu. Ahmad masuk ke dalam keretapi. Dia berjalan mencari tempat kosong. Hampir semua tempat duduk penuh. Dia perasan ada kosong di sebelah gadis berhijab.

Gadis tersebut memakai tudung satin biru gelap bercorak abstrak merah jambu. Gadis tersebut sedang ralit membaca buku. Ahmad seperti mengenali gadis tersebut. Dia cuba berlagak berani menegur. "Assalamualaikum," ucap Ahmad dengan tersenyum. Dia belajar memberi salam pada orang asing dari kenalan muslim yang lain. Gadis tersebut menoleh dan menjawab salamnya perlahan. Ahmad tahu kerana dia nampak gerak bibir gadis tersebut.

Karimah. Betul tekaannya. Bila gadis tersebut dia dapat melihat seluruh wajahnya. Karimah. Yang Mulia yang dia mula suka.

"nak ke mana?" sengaja Ahmad bertanya dalam bahasa melayu. Ingin melihat reaksi Karimah. Namun wajah Karimah tetap selamba. Langsung tidak terkejut.

"asal mana? saya asal seremban," tambah Ahmad bila nampak Karimah kurang mesra.

"kota bharu," jawab Karimah. Ahmad ingin tersenyum. Satu mata untuk jawapan Karimah.

"belajar di sini?" soalan yang sudah lama ingin Ahmad tanya.

"kerja," satu mata lagi. Ahmad masih ingin bertanya.

Apabila keretapi sudah mula bergerak, Ahmad berhenti berbual dengan Karimah. Dia mengeluarkan Quran kecil untuk tilawah. Dia belum berkesempatan untuk tilawah lagi. Selalunya dia akan habiskan 1 juzu' sehari. Itu adalah rutinnya apabila naik keretaapi pulang kerja. Ahmad memberi ruang untuk Karimah sambung membaca. Dia nampak ada buku di tangan Karimah. Dia sebenarnya tidak ramah untuk menegur tetapi melihat Karimah hatinya sangat teruja dengan pertemuan yang tidak disangka.

Ahmad sudah mengukur jarak perjalanannya. Ia bersamaan dengan 1 Juzu' al-Quran iaitu 20 muka surat. Ahmad masih ingin berbual dengan Karimah jadi dia berhenti sebelum 2 hizb bersamaan dengan bunga bertanda di dalam Al-Quran. Dia akan sambung di rumah nanti. Ahmad menutup Quran kecilnya.

"saya rasa saya pernah nampak awak dekat Sydney Airport dua minggu lepas," ujar Ahmad sebaik sahaja dia selesai tilawah. Dia perlu buat pengakuan tersebut sebelum terlambat. Karimah memandang dia serta-merta.

"penerbangan dari Kul - Sydney? tiba awal pagi dan awak tertinggal passsport di kaunter isi borang declare barang," tambah Ahmad lagi. Dia tahu Karimah tidak ingat. Mungkin juga Karimah tidak perasan dialah orangnya.

Karimah mengerutkan dahinya. " ya, saya hampir kehilangan passport tapi saya tak ingat orang yang kembalikan passport tu." jawab Karimah serba-salah. Ahmad senyum. Saya sudah agak Karimah.

"it's okay. Saya ingat sebab awak the only muslim woman in that flight," Tak mengapa, Karimah. Sebab awak selalu dalam ingatan saya.

Sekali lagi Ahmad menghentikan perbualan dia dengan Karimah. Mungkin Karimah pemalu atau dia seorang yang kurang mesra. Ahmad lebih suka pada pendapat Karimah seorang yang pemalu. Pada masa yang sama, keretaapi sudah sampai ke destinasinya. Hornsby. Ingatlah stesen ini Karimah. Harap kita akan berjumpa lagi.

"Assalamualaikum, jumpa lagi." Itulah kata-kata akhirnya sebelum bangkit. Sempat dia tinggalkan air mineral yang dibelinya tadi. Sengaja. Supaya Karimah akan ingat dia. Tadi dia rasa dahaga kemudian dia terserempak dengan Karimah dahaganya terus hilang. Terasa itulah jumaat yang paling indah.
Ahmad masih tetap berdiri disebelah Karimah. Dia ingin berjalan keluar ke ruang ketibaan bersama Karimah. Karimah mencapai bagasinya berwarna kelabu jenama Antler beberapa minit kemudian. Ahmad segera membantu Karimah menegakkan begnya. Dia ingin menjadi lelaki budiman di mata Karimah. Bukan sahaja tunjuk gagah tetapi itulah adab. Dia lelaki patut membantu Karimah.

"Ada lagi?" tanya Ahmad apabila nampak Karimah sudah sedia untuk gerak. Ia juga sebagai tanda dia mengambil berat.

"tak ada," Mereka bergerak seiring ke bahagian kastam. Ahmad menarik kedua bagasinya. Satu bagasinya sama saiz dengan beg Karimah dan satu lagi saiz kecil.

"ada declare apa-apa ke?" suara Karimah kedengaran bertanya. Sejuk hati Ahmad mendengar suara Karimah yang susah untuk didengar.

"Ada," sahut Ahmad sambil menunjukkan borang perisytiharan pada Karimah. Ahmad memberi laluan kepada Karimah terlebih dahulu dan dia mengikut dari belakang. Oleh kerana orang terlalu ramai, Karimah dan Ahmad dibawa ke kawasan khas untuk pegawai kastam memeriksa dengan anjing. Karimah diperiksa terlebih dahulu. Ahmad berdiri dibelakang Karimah diperiksa kemudian. Karimah sudah dibenarkan pergi. Ahmad masih diperiksa oleh anjing. Anjing tersebut dua kali berpusing mengeliling begnya. Tiada makanan pelik dibawanya. Seingatnya hanya ada coklat dan makanan kering sahaja.

Karimah laju bergerak meninggalkannya. Pegawai kastam akhirnya memberi kebenaran Ahmad untuk pergi. Ahmad tenang mengejar Karimah. Susuk belakang Karimah mengembalikan pertemuan ketiga mereka di sebuah restoran.

Bukan seminggu atau sebulan Ahmad tidak melihat Karimah. Hampir 90 hari kemudian ketika waktu makan tengah hari Ahmad terserempak dengan Karimah. Sungguh dia bersyukur ditemukan Karimah pada hari itu. Hampir saja dia melupakan rasa hatinya.

Hari itu Ahmad ada mesyuarat dengan pemaju untuk projek komersial. Selalunya mesyuarat mengambil masa dua jam tetapi kali ini berlarutan sehingga waktu tengah hari. Salah seorang pekerja pemaju tersebut mencadangkan Ahmad makan tengah hari di restorann thai kerana ia halal. Di sini di restoran thai, sebaik dia masuk dia ternampak Michael yang duduk mengadap pintu. "hei," sapa Michael. Ahmad menghampiri meja Michael dan lihat ada dua orang perempuan bersamanya. Ahmad perasan perempuan yang duduk bertentangan dengan Michael memakai tudung. Gaya tudung tersebut seperti dikenalinya. Auranya terasa sangat dekat.


Ahmad berjabat tangan dengan Michael. Sudah lama mereka bertemu. Projek yang dijalankan bersama Michael sudah siap sepenuhnya. Michael bangkit dari tempat duduknya untuk meraikan Ahmad. Kemudian Ahmad memandang dua perempuan rakan semeja Michaael. Saat itu mata Ahmad bertemu dengan mata perempuan bertudung. KARIMAH!

"K, this is engineer from Solution Geoform," Michael memperkenalkan Ahmad pada rakannya. K! Satu mata lagi. Ini bermakna sudah tiga perkara di tahu tentang Karimah. Asal Kota Bharu. Bekerja di tanah kangaroo. K adalah nama panggilan Karimah. Ahmad berlagak tenang dihadapan Karimah yang jelas terkejut melihatnya. Karimah hanya mengangkat tangannya sebagai isyarat 'hi'. Karimah masih begitu. Separuh mesra.

"Ahmad, this is K dan Susan. K, Susan, this is Ahmad," Michael memperkenalkan dua perempuan yang duduk di mejanya. Barangkali Michael ini rakan sekerja Karimah. Hari itu Karimah pernah memberitahunya bahawa dia menetap di sini bekerja bukan belajar. Barangkali juga Karimah bekerja di firma arkitek. Kecilnya dunia mereka!

"actually, we've met before," Ahmad tidak tahu kenapa perlu dia memberitahu Michael tentang perkara itu. Melihat Karimah hanya mengangguk mengiakan kata-katanya, Ahmad sedikit lega. Karimah tidak sombong untuk berlagak tidak mengenalinya. Selepas itu, Ahmad berbual sebentar dengan Michael tentang perkembangan mereka sebelum dia beredar.

Kini, Ahmad sudah tahu Michael mengenali Karimah. Mudahlah dia untuk mengenali Karimah selepas ini. Ahmad kenal Michael atas urusan profesional. Dialah jurutera yang dilantik untuk menguruskan projek bersama Michael. Mereka kenal dari peringkat awal projek sehingga projek tersebut siap.

Perancangan Tuhan tiada siapa tahu. Ahmad seperti berada dalam mimpi. Sekali lagi dia dipertemukan dengan Karimah ketika dia menghadiri majlis makan malam untuk sambutan krismas bagi pejabatnya. Ahmad ternampak Karimah sedang makan malam bersama rakan-rakannya. Dari jauh dia sudah boleh mengenali Karimah. Kalau tengah hari tadi dia boleh rasakan aura Karimah dari belakang malam pula dia kenal corak tudung Karimah. Masih tudung yang sama ketika Ahmad bertemu Karimah tengah hari tadi. Ahmad agak Karimah suka pakai tudung satin bercorak. Kali ini warna tudung Karimah pakai warna ungu corak merah jambu.

"Assalamualaikum," Ahmad tanpa teragak- agak terus menegur Karimah. Dia tidak perlu meminta bantuan Michael kalau Karimah sudah ada depannya. Karimah berhenti berbual dan semua ada yang di meja bersama Karimah turut memandangnya. Karimah berpaling ke arah Ahmad. Ahmad terasa ingin ketawa. Ahmad rasa Karimah sangat comel buat terkejut begitu. Minta maaf, Karimah. Hari ini dua kali saya mengejutkan awak. Bukan saya sengaja. Ini takdir yang paling indah buat saya.

"waalaikumsalam," Karimah jawab dengan perlahan. Dari reaksi terkejut Karimah bertukar jadi segan dan malu. Mungkin segan dengan rakannya. Ahmad sempat perhati rakan Karimah. Sepertinya semua rakan Karimah bukan muslim. Bukan sahaja Karimah terkejut mendengar salamnya. Rakannya yang lain juga turut terkejut. Kalau sebelum ini mereka riuh berbual terus senyap.

"saja nak tegur. tengah hari tak sempat nak cakap sebab kena cepat," kata Ahmad dengan tenang sebagai mukadimah kata. Dia sebenarnya ingin berbicara sesuatu pada Karimah. Dia berharap Karimah boleh luangkan masa sebentar dengannya. Tidak lama. Paling lama lima minit sahaja.

"oh, tak apa. Faham, kerjakan.buat apa dekat sini?" Ramah Karimah melayan walau sedikit janggal.

" Ada Dinner Party dengan company. oh, boleh cakap sekejap? " jawab Ahmad dan terus mengajak Karimah untuk bercakap di sudut lain apabila menyedari dia masih menjadi tumpuan rakan Karimah. Karimah seperti memahami keadaan turut ikut Ahmad.

Setelah sedikit jauh dari teman Karimah, Ahmad berhenti dan menghulurkan kad namanya. "minta maaf, tengah hari tadi saya terlupa nak bagi. Tak sangka pula terjumpa lagi sekali," Karimah menyambut kad nama Ahmad.

"saya tak bawa kad nama saya," kata Karimah dengan rasa bersalah. Ahmad sebenarnya tidak mengharapkan balasan dari Karimah.

"Kerja sekali dengan Michael?" tanya Ahmad untuk kepastian. Karimah menggangguk. Ahmad lega. Maksudnya dia tiada masalah kalau tidak dapat kad nama Karimah. Ahmad tahu mana nak cari. Ahmad melihat jam tangannya. Nampaknya dia harus pergi.

"saya pergi dulu. Dah lambat. Assalamualaikum," Ahmad terus berlalu tanpa memandang Karimah. Cukuplah dua kali dia dapat melihat Karimah. Kalau dia menoleh sekarang dia takut dia tidak dapat tidur malam nanti.

Selepas itu, dua minggu Ahmad menunggu panggilan dari Karimah tetapi tiada. Dia sebenarnya risau kerana telah mendapat notis untuk ke china. Anak syarikat cawangan China perlukan jurutera. Jurutera sekarang cuti sakit kerana kemalangan. Ahmad dihantar ke sana untuk 6 bulan atau sehingga projek tersebut siap. Urusan tersebut memerlukan jurutera dengan segera dan ibu pejabat tidak mahu membuang masa mencari jurutera baru. Lagipun kerja Ahmad di sini masih boleh diuruskan oleh jurutera yang ada. Oh, Karimah!

Ahmad melebarkan langkahnya supaya dapat menyaingi Karimah. "lajunya. Nak ke mana?" tegur Ahmad. Karimah terkedu.

"boleh kita singgah minum sekejap?" pinta Karimah tiba-tiba. Ahmad mengangkat keningnya. Pelik dengan permintaan Karimah. rindu saya ke?

Ahmad tidak segera menjawab. Dia mengajak Karimah bergerak ke ruang yang lebih lapang. "saya belikan dan Karimah tunggu di sana, boleh?" ujar Ahmad sambil menunjukkan arah bangku untuk Karimah duduk menunggunya.

"nak air apa?"Ahmad mengambil pesanan.

"cookies n' cream," balas Karimah. Ahmad mengangguk tanda faham dengan permintaan Karimah. Sebelum dia bergerak, Karimah sempat menahannya supaya ditinggalkan bagasi Ahmad bersamanya.

Sambil menunggu giliran, Ahmad mencuri pandang pada Karimah. Hatinya tertanya apakah yang ingin Karimah bincangkan?

Entah kenapa Ahmad tergerak hati untuk menghubungi ibu pejabat di Sydney. Bukan ada klien yang mencari. Kalau ada jurutera di ibu pejabat akan mencarinya terlebih dahulu. Tak perlu tunggu Ahmad menghubungi mereka. Ketika dia menelefon ibu pejabatnya, gadis penyambut tetamu yang menjawab panggilannya.

"Ahmad, I've a message for you," kata gadis penyambut tetamu setelah mereka bertanya khabar.

huh? Mesej? Pesanan? "from who?" Pelik. Selama tiga bulan dia di China tidak pernah dia menerima mesej dari sesiapa.

"A girl," balas gadis penyambut tetamu pendek. Karimah kah? Hanya nama itu saja yang muncul. Tiada perempuan lain yang dia kenal. Tambahan pula dia pernah beri kad namanya pada Karimah.

"oh, name?" Sekali lagi Ahmad bertanya. Hatinya berdebar.

"Marisa. She said, K is waiting for you. She also leave her contact number and want to called her back," Marisa? Siapa Marisa? Eh, K? Karimah? Siapa yang sebenarnya yang mencarinya? Marisa atau Karimah? Ahmad terus menyalin nombor telefon Marisa. Dia perlukan kepastian.

Ahmad sebenarnya sedikit kecewa. Ahmad pernah menghubungi firma Karimah bercakap dengan Michael sebelum dia berangkat ke China. Michael memaklumkan Karimah bercuti panjang. Bercuti panjang boleh membawa pelbagai maksud. Yang paling dia takuti adalah Karimah bercuti untuk berkahwin. Kalau benar, dia tiada peluang lagi.

Namun, muncul Marisa dengan mesej K sedang menunggu dia. Ahmad jadi penasaran. Apa maksud Marisa? Adakah Karimah juga ada hati padanya? Adakah Karimah juga sudah jatuh hati padanya?

"Assalamualaikum, Marisa. Ini Ahmad." ucap Ahmad sebaik saja panggilannya bersambut.

"Ahmad?" Marisa bertanya kembali. Seketika kemudian, Marisa menyapanya mesra. Tidak sempat dia bertanya apa-apa, Marisa sudah menceritakan perkara sebenar.

"Boleh rahsiakan pada Karimah yang saya pernah hubungi Marisa?" ujar Ahmad sebelum dia menamatkan talian. Marisa mudah saja setuju.
Sekarang, Selepas tiga bulan kemudian, Ahmad bertemu Karimah di lapangan terbang Sydney. Marisa tidak memberitahu penerbangan Karimah tetapi Ahmad yakin kalau benar jodoh, dia dan Karimah akan bertemu lagi.

Ahmad sudah kembali dan menghulurkan minuman untuk Karimah. Dia duduk di sebelah K tetapi dengan jarak yang selesa. Tidak rapat dan tidak terlalu dekat. Karimah sedang menyedut minumannya.

"boleh saya tahu kenapa awak beri kad nama awak pada saya?" Karimah memulakan perbualan tanpa sempat Ahmad bertanya. Ahmad menyedut minumannya perlahan-lahan. Ini benar luar jangkaannya. Marisa tidak cerita tentang perkara ini.

"Sebab saya nak awak hubungi saya," jawab Ahmad dengan jujur. Ya, itulah niatnya ketika memberikan kad namanya pada Karimah. Kemudian, Karimah mengeluarkan sesuatu dari beg galasnya.

Ahmad nampak Karimah sedang menilik sekeping kad nama. "saya minta maaf sebab saya tak faham maksud awak. Saya lupa tentang kad nama awak. Lepas dapat tahu awak ke China, saya reka khas kad nama ini," suara Karimah kedengaran sedikit gementar ketika menjelaskan situasinya sambil menghulurkan kad nama tersebut pada Ahmad. Ahmad gelak kecil. Marisa ada memberitahu Karimah terlupa untuk menghubunginya balik. Bukan kerana kad nama. Pandai Marisa buat cerita.

"Mana tahu kebetulan saya jumpa awak lagi macam hari ni sebagai balas balik kad nama awak," tambah Karimah. Ahmad menyambut kad nama dari Karimah. Dia menilik kad nama tersebut. Satu persatu maklumat di kad nama dia baca. Karimah binti Ikram. 04523854721. K.karimah@gmail.com berserta logo facebook sahaja. Ahmad rasa Kad nama ini seperti direka khas untuknya.

"Facebook sahaja. No instagram. No twitter," Karimah petah berbicara. Buat pertama kali, Karimah banyak bersuara. Sebelum ini, Ahmad yang ramah bertanya macam-macam pada Karimah.

"terima kasih," ringkas saja Ahmad membalas. Perasaan bercampur baur. Gembira. Terharu. Semua ada.

"saya sebenarnya tunggu awak hubungi saya. Adalah dalam dua minggu tapi langsung tiada khabar berita. Jadi saya hubungi Michael dan saya dapat tahu awak ambil cuti panjang. Waktu itu juga saya ditugaskan untuk menguruskan projek di China. Saya ingat saya dah tak dapat berjumpa awak lagi tapi Alhamdulillah, hari pertama saya jejak tanah kangaroo ini awak orang pertama saya jumpa," jelas Ahmad gembira. Kalau Karimah sudah berterus terang kepadanya, takkan dia membiarkan sahaja. Karimah patut tahu.

"tapi macam mana awak tahu nama saya?" Karimah sebelahnya seperti polis sedang menyiasat kes. Laju dia bertanya. Ahmad memandang Karimah sekilas. Ahmad tersenyum. Adakah Karimah terlupa? Betullah orang kata, kalau kita suka seseorang semua tentang dia kita akan ingat sampai mati.

"Yang Mulia, tahun lepas Yang Mulia tertinggal passport di airport yang sama. Saya sempat baca seluruh maklumat dalam passport Yang Mulia," Ahmad memberi penjelasan. Walaupun dia melihat sekilas passport Karimah. Dia ingat semua maklumat Karimah. Nama, Karimah Binti Ikram. Warganegara, Malaysia. Tarikh lahir, 7 September 19**. Jantina, Perempuan. No. Pengenalan **09070364**. Tempat lahir - Kelantan. Tinggi - 151 cm. Kalau Karimah suruh Ahmad ulang semula, Ahmad yakin seratus peratus dia dapat menjawab dengan betul.

"oh," pendek sahaja Karimah membalas.

Ahmad berbual dengan Karimah untuk beberapa minit sebelum mereka berpisah. Karimah memilih dengan menaiki bas manakala Ahmad akan menaiki keretapi. Kediaman Ahmad lebih dekat dengan stesen keretapi. Mungkin kediaman Karimah lebih dekat dengan perhentian bas. Ahmad memastikan Karimah naik bas sebelum dia ke platform keretaapi di tingkat bawah.

"jumpa lagi, Yang Mulia. Assalamualaikum." Ahmad berharap dia akan bertemu lagi.

Sekarang, dia perlukan pertolongan Huzaifah. Dia ingin tahu latar belakang Karimah. Yang Mulia.

No comments: