Saturday, July 30, 2011

KK: cabaran 50 buku : (23) Blues Retro

Tajuk: Blues Retro
Penulis: Imaen
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 351 halaman
ISBN: 978- 967- 0201-14-6
Harga: RM 17 (Sem M’sia) / RM 19.00 (S&S)
                  
Kata kulit buku:

... empat semester yang indah...
Nasi lemak buah bidara,
    Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
    Kerana kasih hamba turutkan.

“Ghazi, kita kahwin lari!” kata Nik Farhana.
Hampir tersembur jus tembikai daripada mulut Ghazi.
“Apa dia?”
“Kita kahwin lari.” Suara Nik Farhana berbunyi serius.
“Hana jangan main-main!”
“Saya serius ni!”

Berjayakah Ghazi, siswa antropologi dan Nik Farhana, siswi perubatan di Universiti Lembah Pantai kahwin lari ke sempadan Siam?

* * * *
IMAEN memang diakui pembacanya sebagai penulis yang punya bahasa yang mantap lagi tajam. Kini lulusan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya beralih arah, bertekad mahu memperkenalkan semula sastera remaja yang indah dan berisi pada generasi MTV dan Facebook.

Kata KK:

Kisah cinta Ghazi dengan Nik Farhana. Cinta zaman 90-an. Kisah perniagaan Ghazi. Kisah cinta dua darjat. Ghazi anak miskin manakala Nik Farhana anak orang kaya. Ghazi anak muda bersama temannya membuka gerai burger untuk mendapatkan wang untuk terus sambung belajar. Perniagaan makin maju tetapi kisah cinta tidaklah semaju perniagaannya. Ada saja halangannya. Sedihnya, apabila Ghazi dibuang kolej kerana ikut demonstrasi. Sedihnya, Ghazi dan Nik Farhana tidak kahwin lari. Sedihnya, pengakhirannya tergantung.

Menariknya, idea innovatif dari Ghazi dan temannya dalam mempertingkatkan mutu burger mereka.  Ghazi kata burger mereka burger orang kampung. Dijual hanyalah di gerai bukan restoran berhawa dingin seperti A&W ataupun Mc Donalds. Walaupun begitu burger mereka orang suka. Burger mereka masak ramai yang beli.

Kesimpulannya, saya terkedu. Terkedu sebab beli buku ini dari penulisnya sendiri.  Ha-ha. Perasan. Ya, saya beli ketika di pesta buku waktu tu penulisnya yang jaga kaunter bayaran. Jadi, saya hilang kata-kata untuk membuat ulasan lebih-lebih untuk Blues Retro. Yang pasti, seronok mengimbau zaman belajar dulu-dulu sebab zaman sekarang sudah makin moden. Makin maju. Makin canggih.

Saya juga ada kenangan yang menarik di UM!

Friday, July 29, 2011

warna

kata biru itu mendamaikan..
tenang...
tapi biru juga menyedihkan..

kata merah itu berani...
tapi merah juga melukakan..

lagi?

sambung la..

KK: cabaran 50 buku : (22) 3 kali Seminggu


Tajuk: 3 Kali Seminggu
Penulis: Dr. Faisal Tehrani
Terbitan: Ameenbooks
Muka surat: 198 halaman
ISBN: 978- 967-362-058-6
Harga- RM 19.00 (Sem M’sia) / RM 21.00 (S&S)

Kata kulit buku: 

Tiga Kali Seminggu memperihalkan seorang ustaz kacak lagi petah yang mengajar kuliah tafsir, tajwid dan fiqah sebanyak tiga kali seminggu di sebuah kampong. Ramai yang tertarik dan terpesona. Ramai yang khuysuk sungguh-sungguh, ramai juga yang berpura-pura khsyuk, tidak kurang yang menggeliang-geliut tergedik-gedik cuba menarik perhatian

“ustaz, haramkah kalau saya memeluk-meluk bantan dan mengandaikan ia suami saya?”
Ustaz Agil semacam gamam sekejap. Serasa dada berdebur akan pecah. Belum pernah dia ditimpa soalan fiqah seperti ini.

Tiga Kali Seminggu merupakan salah satu cerita pendek dalam buku ini.

15 buah cerita pendek Faisal Tehrani –mengundang rasa syahdu,lucu,pilu- membawa sindiran, peringatan, kekuatan semangat dan tanda Tanya.

Kata KK:

Dikulit buku tertulis 15 cerpen yang mencabar minda. Ya, sungguh mencabar minda dari Dr. Faisal Tehrani. Setiap cerpen mempunyai isu yang diketengahkan seperti isu Bahasa Melayu, isu ekonomi, isu kekerasan dan anti-kekerasan dan sebagainya. Kerana isu-isu yang berat ini buat saya lambat untuk menghabiskan 3 Kali Seminggu ini. Setiap satu cerpen itu saya perlu hadam terlebih dahulu sebelum melangkah ke cerpen yang lain. Bagi saya, Faisal Tehrani pandai mengolah sesuatu isu di dalam cerpennya. Contoh isu memperjuangkan Bahasa Melayu diolah sebagai sebuah kisah cinta antara dua darjat. Ada juga isu yang berat diolah dalam keadaan santai. Di samping itu juga ada unsure sinis yang tidak keterlaluan dalam cerpennya.

Antara cerpen yang member impak kepada saya adalah cerpennya yang terakhir iaitu gawat. Cerpen yang mengisahkan gempa bumi yang berlaku di Malaysia walaupun ia agak mustahil dengan kedudukan geografinya namun Faisal Tehran menjadikan situasi ini benar-benar berlaku dan saya dapat membayangkan bagai menonton berita sahaja.

Selain itu, ada satu cerpen yang menarik dan saya rasa ia comel iaitu cerpen tentang haiwan menulis surat kepada khalifah tentang kerosakan yang dilakukan ke atas bumi.

Setiap cerpen FT dirasakan saya seperti mengembara dari satu tempat ke satu tempat dari Malaysia hingga Negara lain kemudian kembali ke Malaysia. Dari sebelum merdeka hingga selepas merdeka seperti menaiki mesin merentasi masa kepunyaan Doraeman sahaja. Hi-hi.

Segala maklumat setiap cerpennya sangat padat merangkumi semua aspek sepertinya FT sangat pakar setiap apa yang disampaikan di dalam cerpennya.

Macam sebuah ensiklopedia!

Thursday, July 28, 2011

KK: cabaran 50 buku : (21) Maaf Dari Sorga


Tajuk: Maaf Dari Sorga
Penulis: Faisal Tehrani
Terbitan: Ameenbooks
Muka surat: 176 halaman
ISBN: 978-983-3991-87-7
Harga: RM 16.00

Kata kulit buku:

Rumah nombor 33 menyimpan pelbagai misteri dan dianggap berhantu. Penyewanya silih berganti dan kebanyakan mereka menemui kecelakaan.

Penyewa terbaru, Hakiki, seorang pegawai bank berfikiran liberal bersama isterinya yang mualaf, turut diganggu peristiwa aneh dan menakutkan. Rumah tangga yang aman mulai keruh dan si isteri kembali ke Negara asal, kemudian terperangkap dalam taufan ganas yang mengancam jiwa dan kandungannya.

Mungkinkah gangguan- gangguan itu disebabkan oleh dosa-dosa Hakiki yang disembunyikan sekian lama? Apakah ada kemaafan dari sorga buat mereka?

Kata KK:

Kisah rumah 33 yang penuh misteri , penghuni terbaru adalah sepasang suami isteri iatu Hakiki dan sarah yang baru sahaja pulang ke tanah air. Pada awalnya mereka tidak mengetahui sejarah rumah 33, namun setelah menduduki rumah itu, Hakiki dan Sarah mula mengalami gangguan.  Kerana gangguan itu adalah salah satu faktor menyebabkan Hakiki dan Sarah berubah ke arah lebih baik yang mana Sarah merupakan soerang mualaf. Dia mula mempelajari islam dengan lebih mendalam. 

Mesej yang disampaikan oleh penulis terang dan jelas. Tentang isu riba, kalimah syahadah daan solat serta aurat. Mesej yang dikhabarkan dalam Maaf dari Sorga sangat bersahaja dengan adanya watak Dina, Pak Idi dan Ustaz Wan Adlin. Kesedaran Hakiki sebagai seorang yang perlu membimbing Sarah dan kesedaran Sarah perlu menambahkan ilmu tentang Islam. Gangguan yang dialami oleh Sarah dan Hakiki diceritakan sebagai tazkirah dan peringatan oleh makhluk-makhluk lain kepada penghuni rumah 33. Sekirangnya mereka tidak menghiraukan gangguan tersebut maka mautlah jadi taruhan tetapi sekiranya setelah mendapat gangguan mereka berubah kea rah kebaikan itulah yang sebaiknya. 

Biasanya cerita gangguan seperti ini sangat menakutkan untuk dibaca, namun gangguan yang digarap oleh Faisal Tehrani dari perspektif yang berbeza iaitu dari sudut yang lebih baik dan memberi kesedaran bukan membuatkan bulu makin meremang dan tidur tak lena kalau dibaca malam-malam.  Menarik, tertarik.

Wednesday, July 27, 2011

KK: cabaran 50 buku : (20) Dari Jendela Ainur



Tajuk: Kaca Jendela Ainur
Penulis: Diya Nordin
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 414 halaman
ISBN: 978-967-5118-51-7
Harga: RM 18.00 (Sem M’sia) / RM 21.00 (S&S)

Kata Kulit Buku:

Seumur hidupnya, dia hanya mahu memenangi hati Syuhairah, mama yang sangat dia rindu walau wujudnya di depan mata. Dari kecil dia sering tertanya-tanya, kenapa dia bagaikan halimunan pada mata mama!

Ainnur Shahirah tidak pernah kenal siapa ayahnya. Sangkanya, apabila bertemu ayah, kurang-kurang dia punya kasih seorang bapa. Tapi dia salah. Ayah seperti mama. Tidak pernah menerimanya sebagai anak.
Dia menjadi daki dalam keluarga. Dia sedar duduk dirinya. Dia akhirnya pasrah, kasih mereka bukan untuknya. Dia harus pergi agar mama dan ayah bahagia dengan keluarga sendiri.

Kata Zhafran, “Ainnur bukan sekadar kejam pada Tok Mama dan Tok Baba. Tapi juga Uncle Luqman. Salah ke mereka hingga turut terhukum?”

Apa yang Zhafran tahu?

Semuanya dia yang tanggung. Rasa pedih, terluka. Semuanya ditelan sendiri. Dia sudah sehabis daya mencuba. Dia pergi pun atas kehendak mereka, jadi apakah dia yang kejam?

Kata KK:

Kisah Ainnur Shahirah yang tidak diakui sebagai anak oleh mama dan ayahnya namun kehadirannya dihargai oleh uncle papa dan uminya. Ainnur Shahirah makin dewasa mula hidup berdikari setelah kehadirannya bagaikan tidak wujud oleh mamanya sendiri. Dia kemudian melanjutkan pelajaran ke UUM dan menyertai program bakti siswa – iaitu program anak angkat. Dari situ dia dipertemukan dengan Tok Mama dan Tok Babanya iaitu ibu bapa kepada mamanya. Kerana terluka, Ainnur Shahirah membawa diri ke UK setelah mamanya sedar dari koma akibat kemalangan. Atas dasar tanggungjawab, Zhafran menerima Ainnur sebagai isterinya kerana baginya kalau hanya dengan mengahwini Ainnur dapat mendekatkan Ainnur degna keluarga dia sanggup terima. 

Bagi saya cerita yang dicoretkan oleh Diya Nordin ini sangat melankolik. Perjalanan kisah hidup Ainnur ini sangat mendatar walaupun ada kejadian yang tak disangka namun tidak terasa. Ainnur Shahirah yang sedih dan hanya focus pada pelajaran, tidak ad sedikit sikap memberontak apabila dibiarkan oleh ibu bapa sendiri. Bagi saya, walaupun Ainnur Shahirah terlalu baik tetapi sebagai anak terbuang, Ainnur boleh bersikap memberontak sedikit bukan menerima sahaja atas tindakan dan layanan ibu bapanya. Malah usahanya untuk berbaik dengan mamanya masih belum cukup apatahlagi usaha untuk dia berbaik dengan ayahnya.
Untuk lebih jelas, masalah Ainnur perlu diceritakan diawal novel atau bairkan ia menjadi suspen dan kadang-kadang terlalu bosan apabila membaca masalah yang dihadapinya berulang kali.

Watak Zhafran, Ikhwan dan Alia sedikit memberi keceriaan dalam novel ini manakala Luqman terlalu lambat.
Untuk keseluruhan cerita, Kaca Jendela Ainnur mengingatkan tentang tanggungjawab anak dan tangungjawab ibu bapa.  Walaupun kesilapan masa lalu itu pahit tetapi seharusnya kita menerima dan memperbaiki untuk menjadi lebih baik.

Sunday, July 24, 2011

KK: cabaran 50 buku (19): Langsir biji remia




Tajuk: Langsir Biji Remia
Penulis: Noor Suraya
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 263 halaman
ISBN: 978-967-0201-13-9
Harga: RM 17 (Sem M’sia) / RM 19 (S&S)

Kata Kulit Buku:

Duha, pandanglah mataku yang berbisik... Kalau hati ini memang sebatang pena, tintanya tentulah daripada pelangi tujuh warna lalu kenapa tidak saja dikirimkan sepucuk surat cinta pada dia? 

Duha Hafa anak tunggal Dr. Hud Othman dan Puan Taslima. Dia cantik dengan mata bundar sayu seperti mata unta di padang pasir. Umair terpikat sejak dia masih kecil lagi.

Sepuluh tahun berlalu dan mereka bertemu semula. Kini Duha Hafa sudah memakai purdah hitam, dan dia bukan lagi gadis periang dan ramah. Kenapa dia berubah? Apa yang tersembunyi di sebalik purdah hitam itu?

Langsir Biji Remia mengajar kita bersyukur dengan nikmat daripada Dia.

* * * *
Kelebihan karya NOOR SURAYA terletak pada bahasanya yang lembut berserta ceritanya yang memikat. Pemegang ijazah Sarjana Linguistik daripada Universiti Malaya ini menulis dengan hatinya. Disiplin menulisnya diterap sejak menjadi pelajar Komunikasi di Universiti Sains Malaysia lagi. Munsyi Dewan ini pernah memenangi beberapa hadiah penulisan antaranya Hadiah Utama Sayembara Cerpen Esso-Gapena IX (1992) dan Hadiah Penghargaan Menulis Cerita Kanak-kanak Mobil-DBP (1998).

Kata KK:

Buku ini saya beli di Pesta Buku 2011 tetapi saya mula membacanya setelah dihadiahkan untuk ulasan terbaik bulan April. Walaupun sibuk dengan kerja sekolah, saya curi baca buku ini dan LBR ini adalah buku pertama saya baca dari koleksi Si Manis 17.

Lihat kulit depan saja buat saya jatuh cinta. Yalah, warna ungu adalah warna kesukaan saya. Terima kasih kepada Kak Wan untuk hadiah ini. Sungguh saya senang dengan membaca kisah Duha dengan Umair. Jalan ceritanya menarik walaupun akhirnya Duha dilamar oleh anak  seorang kenalan ayahnya ketika menunaikan umrah. Kak  Noor Suraya Berjaya mengambil hati saya kembali dengan Muhsin walaupun telah dipatahkan dengan tidak menjadinya hubungan Duha dengan Umair. 

Kisah Duha dengan Umair yang berbual melalui jendela bilik masing-masing mengingatkan saya tentang video klip lagu Taylor Swift iaitu ‘You Belonged with Me’. Ia bukanlah satu isu yang besar tetapi Kak Noor Suraya telah mengangkat idea tentang kejiranan iaitu Duha dan Amar masih boleh berbual  mesra walaupun mereka berpisah beberapa  tahun dan telah meningkat dewasa. Di hujung cerita, anak-anak Duha dan Umair juga mengikut jejak langkah mereka iaitu berbual di jendela rumah masing-masing.

Saturday, July 23, 2011

KK: cabaran 50 buku (18): Cinta yang ku rasa


Tajuk: Cinta Yang Kurasa
Penulis: Anis Ayuni
Terbitan: Alaf 21
Muka surat: 638 halaman
ISBN: 978-983-124-677-1
Harga: RM 25.00 (Sem. M'sia) / RM 28.00 (S&S)

Kata Kulit Buku:


Seingat Laila Nabila, tidak pernah Mir Shariman menoktahkan hubungan cinta mereka, tetapi anehnya lelaki itu tiba-tiba menyepikan diri. Dia cuba merisik punca kemelut yang melanda, namun segalanya kabur. Laila Nabila tahu Mir Shariman masih bernafas di atas muka bumi, tetapi lelaki itu seperti hilang terus dari galeri hidupnya.

Kali pertama bertemu dengan Laila Nabila, hati Raid bagai ditusuk panah arjuna. Dia terlena dalam keindahan cinta yang diimpi. Rasa kasih tang mendasari hati tidak disembunyi Dia bagai mabuk kepayang mengejar cinta si bidadari.

Namun bagi Laila Nabila, dia tidak mampu memberi, walaupun sedikit ruang untuk Raid berteduh di bawah sayap kasihnya. Dia ingin terus setia dalam bercinta. Sekeping hati yang teruntuk buat Mir Shariman, biarlah terus menjadi miliknya hingga takdir memisahkan mereka berdua.

Mir Shariman tidak pinta hidupnya jadi begini, tetapi ALLAH memilih dirinya untuk diuji. Dia tidak dapat meneka sama ada Laila Nabila ikhlas atau menerimanya atas dasar simpati .Lalu, dia pasrah mebiarkan hubungan mereka bergerak mengikut tadir ILAHI.

"AKU mencetus situasi dan reaksi yang menekan perasaanmu agar kau membenci. Hakikatnya Laila... aku mengoyak hati sendiri."

Kata KK:

Pertamanya, banyak-banyak novel yang dikarang oleh Anis Ayuni,  Cinta Yang Kurasa sedikit kena dengan jiwa saya. Bagi saya ia boleh dikatakan realistik. Cuma penamatnya tidak berapa saya berkenan. Masih belum mencapai tahap untuk saya rasa puas.

Keduanya, Cinta Yang Kurasa bawa saya kembali ke Turki (gaya macam pernah jejak tanah Turki tu). Di awal cerita, dimana Turki menjadi sebagai titik tolak bermulanya hubungan Laila Nabila dan Mir Shariman. Cuma, pelancongan mereka dalam CYK ini sangat klise bagi saya. Turki tidak kelihatan sebagai tempat yang unik untuk perhubungan mereka.

Ketiganya, watak LN belajar di Australia mengambil jurusan seangkatan dengan jurusan yang sedang saya pelajari juga. Mungkin faktor ini menyebabkan saya boleh menerima CYK walaupun LN bagi saya sedikit berlagak kerana pernah hidup mewah dan tidak membenarkan ibunya bekerja sebagai pengasuh anak-anak jiran mereka. Bagi watak MS pula ada sesetengah tindakannya tidak saya fahami. Mungkin penulis mahu pembaca membuat penilaian sendiri barangkali.

Empat, watak Raid yang diterangkan di kulit buku tidak memberi impak terhadap CYK ini. Bagi saya, kalaupun tiada Raid CYK tiada perbezaan tetap sama perjalanan ceritanya.

Lima, satu-satu yang saya suka CYK adalah kulit depannya berwarna ungu.

nak pergi Turki!
--
-khaulah khalid-

Friday, July 22, 2011

KK: cabaran 50 buku (17) : Baju melayu hijau serindit


Tajuk: Baju Melayu Hijau Serindit
Penulis: Syud
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 430 halaman
ISBN 978-967-5118-59-3
Harga: RM 19.00 (Sem. M'sia) / RM 22.00 (S&S)

Kata Kulit Buku:
SYUD selalu menulis dalam bahasa segar dengan gaya yang memikat. Ceritanya tentang jodoh, sentiasa manis. Baju Melayu Hijau Serindit sekali lagi membuktikan kalau jodoh tidak ke mana!

Dia ibarat seperti orang yang sedang berjalan di lantai dapur selepas ada pinggan pecah... harus berhati-hati dia, kerana kaca yang tidak nampak dek mata itu boleh melukakan kakinya.

~ I ~

Hidup seorang Wardah senang sahaja. Dia bersyukur kerana dia tidak pernah menghadapi situasi yang sukar (setakat inilah).
Hidupnya menjadi drama apabila mama mula campur tangan. Dia tidak mahu jadi anak tak dengar kata. Jadi harus bagaimana dia, untuk menghalang rancangan ‘mencari jodoh’ mama itu?

“Mama, janganlah libatkan Ilham. Biarlah lelaki tu nak pilih suka siapa pun.”

~ II ~

Dia bukanlah lelaki yang mudah jatuh cinta; namun tak ramai yang percaya akan hal itu. Dulu, hatinya juga pernah ‘hilang’ daripada dirinya. Sekali. Tak ramai yang tahu tentang itu!

“Apa yang I dapat kalau I tolong you?”
“You dapat jadi boyfriend I.”

Tapi apabila dia betul-betul jatuh hati pada seseorang, orang itu pun tak nak percaya.
Sedihlah

Kata KK:


buku terbaru Syud yang saya beli di Pesta Buku 2011 adalah buku pertama saya baca. Syud berjaya mengalih cinta saya dari Azril kepada Pacai, Muhammad Firas.

Mustahil bukan untuk mengingati seseorang  kemudian bertemu dalam tempoh yang lama. Sebulan atau dua bulan bagi saya adalah sangat lama untuk ingat rupa seseorang yang pertama kali bertemu. Baju Melayu Hijau Serindit dan Kasut Merah Dorothy itulah buat Wardah dan Pacai saling kenal antara satu sama lain. Bagi saya kalau itu jodoh tidak mustahil untuk kita kenal seseorang itu walaupun hanya berjumpa sekali sahaja.

Suka dengan watak pacai bak dikarang oleh Syud sendiri, Pacai kalau dalam Tentang Dhiya digambarkan sebagai lelaki yang pasang banyak perempuan sebenarnya pencinta setia seorang Annisa, Bagi saya Pacai adalah sangat 'cool'. Watak Wardah adalah sangat comel macam saya. SANGAT PERASAN. Tidak. Watak Wardah juga berlainan dari Lisa dalam Tentang Dhiya. Kerana itulah saya boleh terima Pacai digandingkan dengan Wardah. Comel!

Watak Pacai juga tidaklah serumit Adil dalam Untuk Awak, Teja Aulia. Watak Pacai yang kadang tidak peduli tentang orang lain tetapi bila sekali dia ambil berat tentang seseoran, dia akan jaga betul-betul.

Akhir sekali, saya senang dengan pengolahan Syud tentang Pacai dan Wardah. Cuma satu saja, ingin saya tanyakan pada Pacai bagaimana dia,Azril, Adil dan kawannya sangat tabah ambil jurusan seni bina.Huhu.

Hei, Pacai itu Wardah punya la! Eh, baju raya tahun ni warna hijau serinditkah?

Thursday, July 21, 2011

KK: cabaran 50 buku : (16) Biarkan aku jadi orang Palestin

sumber : ibnhassan

Tajuk : Biarkan Aku Jadi Orang Palestin
Penulis : Selenggaraan JIM Media & Karisma International
Penerbit:  JIMedia
Harga:RM 15 (sem. Msia)

Kata KK:

Cerpen-cerpen yang ditulis oleh orang ramai yang ada di antara pengarang tersebut saya kenal namanya. Mereka menulis tentang Palestin, tanah yang tidak pernah mereka jejaki sebelum ini. Walaupun begitu,setiap cerita dari buku ini dikarang bagai mereka pernah mengalami peristiwa tersebut. Bagi saya ini adalah salah satu sumbangan yang boleh mereka lakukan dalam menyedarkan kita tentang Palestin.

Buku ini tidaklah tebal tapi setiap cerpen sangat mengesankan jiwa. Kalau mengikut pendapat saya cerpen yang terawal dan yang terakhir mampu buat saya rasa terharu dan menitiskan air mata. Bahasa yang mereka gunakan bagi sangat dekat dengan hati. Membaca buku ini mengingatkan saya apakah sumbangan yang telah saya lakukan untuk membantu mereka di Palestin.

ingatkah kita disini bermula sejarah isra' mikraj?

Sunday, July 10, 2011

KK: cabaran 50 buku: (15) secangkir teh pengubat letih


sumber : Jamal Rafaie

Tajuk : Secangkir Teh Pengubat Letih
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit: Galeri Ilmu
Mukasurat : 280 halaman
ISBN: 978-983-097-238-1
Harga:RM 25 ( sem. Msia) / RM 27 (sabah/Sarawak)

Kata Kulit Buku:

Ada yang pergi ke Turki dapat pahala, ada yang pergi ke Turki dapat dosa. Menentukan siapakah diri yang ingin dibawa mengembara, adalah kunci besar pada menentukan kesan akhir yang bakal terhasil. Itulah yang dikatakan, 'Siapa kamu menentukan cara kamu melihat'. Kesannya pula ialah, 'Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat'.

SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH adalah naskhah yang merakam catatan kembara Abu Saif di bumi Khalifah Othmaniyyah, pada mengenal hati budi kenalan dan teman, yang sudah lama berkongsi persaudaraan atau yang disapa di pinggi jalanan. Semua itu adalah cara ALLah mendidik untuk melihat Islam dengan penuh yakin, bahawa sehitam mana pun gelapnya malam, sentiasa ada kunang-kunang meminjamkan cahaya, bekal menanti sirnanya gelita, hingga terbit fajar janji-Nya.

Kata KK: 

Ya, buku ini seperti pengubat letih saat-saat penat bermain perasaan dengan manusia. Pada mulanya, saya berat hati untuk membaca buku ini kerana ia berkisar tentang Turki. Bagi saya apalah yang ingin diceritakan tentang Turki, negara sekular yang terkenal dengan banyak masjid di sana.

Sebelum ini, saya pernah menyukai Turki tapi hanya kerana saya punya sejarah dengan Hagia Sophia buat saya jadi hilang rasa suka pada Turki ini. Kisah saya dengan Hagia Sophia buat saya kecewa dan putus rasa dengan Turki. Namun, setelah mengembara dengan SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH saya kembali jatuh cinta dengan Turki.

Travelog Tarbiah dari ustaz Hasrizal ini adalah sekitar zaman 90-an ketika beliau sedang belajar di Jordan. Turki menjadi rumah kedua atau dengan kata lain yang saya suka gunakah adalah sebagai tempat pelarian sepertimana UIA pernah menjadi temapat pelarian saya suatu ketika dahulu.

Ustaz hasrizal berjaya mengalih persepsi saya tentang Turki walaupun penduduknya berada dalam era sekular tetapi masih ada yang mengamalkan Islam yang sebenarnya. Sekolah Tahfiz sangat banyak dan rata-rata pemuda Turki adalah seorang hafiz. Masing-masing mula menghafal al-Quran  dari kecil. Ini buat saya jatuh cinta dengan pemuda Turki banding dengan pemuda Malaysia susah nak ketemu pemuda Hafiz.

Malah diceritakan juga bahawa kesedaran rakyat Turki tentang politik dan isu semasa sangat tinggi. Akhbar-akhbar Turki sentiasa laris dan berita di televisyen sangat diberi perhatian. Kagum dengan rakyat Turki yang sangat cakna dengan  perkembangan isu semasa dan akhbar-akhbar mereka seperti sumber yang boleh dipercayai  sebagai rujukan kalau dibandingkan dengan Malaysia.

Sesuatu yang sangat terkesan adalah orang-orang Turki sangat mementingkan adab makan. Mereka sangat menghargai makanan dan mereka akan pastikan makan sampai licin sehingga tiada apa yang boleh dimakan lagi. Sekali lagi saya membandingkan dengan kita, orang Malaysia sukar untuk menghabiskan makanan. Buktinya lihat saja dalam drama -drama yang disiarkan.

Akhir sekali, teh yang menjadi tajuk utama dalam buku ini turut diceritakan  oleh penulis. Orang Turki sangat menyukai teh dan sepanjang pembacaan saya sering saja terbayangkan teh panas ini. Rakyat Turki berjaya buat saya makin gemar dengan teh apatah lagi Malaysia juga sinonim dengan pengeluaran teh tempatan seperti Boh. Apa yang berbeza adalah cara penyediaan teh orang turki tidak sama dengan orang Malaysia.

Pengakhiran travelog penulis menceritakan tentang perubahan politik di Turki dan ketika itu pengharaman pemakaian tudung di sekolah adalah isu besar. Sekolah tahfiz juga telah ditutup. Namun sekali lagi, penulis berjaya mengekalkan persepsi  saya terhadap Turki walaupun wanita Turki mengalami kesukaran untuk hadir ke sekolah, sekolah tahfiz ditutup, mereka menggunakan masalah ini dengan melihat satu sudut yang lain dan masih positif dengan masalah ini.

Setelah berakhinya pengembaraan di negara yang berjaya ditawan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh  ini, saya jadi rindu pada negara ini.

Nak ke Turki tapi tak nak tengok Hagia Sophia.

Friday, July 08, 2011

KK: cabaran 50 buku: (14) tinta

sumber: jemari seni

Tajuk : Tinta
Pengarang :Nasron Sira Rahim, Syud, Pingu Toha
Penerbit : Jemari seni publishing
Mukasurat : 551 halaman 
ISBN: 978-967-5118-57-9
Harga: RM21.50 (Sem. M'sia)/RM24.50 (Sabah/Sarawak)

Kata kulit buku:
Tiga ceritera dalam sebuah
TINTA
Ceritera 1 - Wajah Ketiga ~ Nasron Sira Rahim
Hatinya ditusuk rasa sedih, kecewa dan amarah yang tidak berkesudahan. Bagaikan ditusuk sembilu, kebahagiaan mereka menatijahkan luka yang pedih dan mendalam dalam sanubarinya. Keperitan yang terpaksa dia pendam sehingga membuahkan pohon kesengsaraan yang bercambah rendang.
Apakah maksud di sebalik jujukan kod-kod nombor itu?
Mungkinkah dia salah seorang mangsa Pembunuh Obituari?
***
Ceritera 2 - Dia, dalam Ramai... ~ Syud
Ramai orang kata, kadang-kadang, perkara yang paling kita tak jangka itulah yang akan terjadi pada diri kita.
“Sufiy.”
“Ya?”
“Nama saya Ameer.”
“Oh. Jumpa lagi, Ameer.”

Siapa sangka, kan? Siapa sangka orang yang dia sangka hilang atau memang dah tak akan jumpa itu... muncul lagi di hadapan matanya?
***
Ceritera 3 - Ada & Evan ~ Pingu Toha (seperti diceritakan oleh Kiki Abu Zain)
Boleh ke kita hidup pakai hukum ‘and they live happily ever after’?
Ada; yang sudah penat dengan cinta. Evan; yang begitu naif tentang cinta. Mereka cuba disatukan oleh ‘janji tadika’ abah dan ibu. Mereka bertemu di ruang maya. Di realiti, mereka mencari. Demi ‘Katakan Tidak kepada Kahwin Paksa’, mereka berjanji.
Lalu, yang mengikat mereka itu apa? Janji atau cinta?


Kata KK:

3 kisah yang berbeza.

penyusunan jemari seni dalam menggaulkan 3 cerita berbeza dalam satu novel kali ini sangat menarik.

wajah ketiga
ceritera pertama iaitu wajah ketiga  oleh nasron sira rahim mengisahkan tentang satu kes yang berkait dengan novel pertamanya. cara pembunuhannya yang sangat kejam dan ngeri untuk saya gambarkan tetapi saya masih boleh meneruskan bacaan hingga akhir. walaupun kes ini agak sama dalam novel pertamanya namun kes ini lebih menarik berbanding kes dalam novel pertama. kerana cinta boleh buat manusia menjadi kejam. unsur suspen dalam novel ini lebih kuat dari kes novel pertama kerana saya tidak menjangka siapakah penjenayah itu. sungguh penulis pandai bermain psikologi dalam penulisannya.

 Dia dalam ramai 
ceritera kedua iaitu dia dalam ramai oleh syud. syud tidak pernah mengecewakan saya. cuma untuk kali ini bagi saya penamat masih belum memuaskan sebab  tergantung. mencari, kemudian bertemu kembali. watak sufi dan ameer ini seperti bermain tarik tali. masing-masing cuba memahami bahasa jiwa mereka. jodoh itu datang tak kira jauh atau dekat. kalau nak jadi, maka jadi lah.

Ada & Evan
ceritera ketiga dari pingu toha iaitu ada & evan. cerita paling menarik dalam novel ini. saya sangat terhibur menghayati karya pingu toha. karya kali ini santai dan bersahaja. saya senang membaca kisah Ada dan Evan. Baca Ada dan Evan seperti baca komik manga.

ada ke orang macam Ameer dab Evan?

Thursday, July 07, 2011

KK: cabaran 50 buku: (13) menunggu hujan

sumber: jemari seni
Tajuk : menunggu hujan
Pengarang :Adileah
Penerbit : Jemari seni publishing
ISBN: 978-967-5118-56-2
Harga: RM19.00 (Sem. M'sia)/RM22.00 (Sabah/Sarawak)

Mukasurat : 452 halaman

kata kulit buku:

Kata dia, “Tak boleh ke panggil Lis? Sedap apa nama tu.”

Jawabnya pula, “Tak boleh. Tak suka. Macam ‘list’ barang apabila awak panggil saya Lis.”

Jawab dia kembali, “Saya panggil awak ‘dear’ atau sayang boleh tak?”

Dia tak mahu layan. Hatinya sudah ada irama yang sedang bergetar. Mana boleh ditunjukkan di hadapannya. Rahsia hati mesti di simpan diam-diam.

Itu cerita silamnya. Cerita sekarang sudah berbeza.

Jauh merentasi benua, masalah tidak juga selesai. Lama dia menyepi, rindu itu tidak juga padam. Diam dia tidak memanggil namanya, rasa itu tetap terpahat di situ. Semua itu tidak pernah pergi jauh darinya

Dunia bagaikan terhenti berputar apabila dua jiwa yang terpisah bertemu kembali dalam satu rasa yang sama.  Rupanya... rasa yang dia cuba nafikan itu masih ada dan tidak pernah padam. Dia sudah letih untuk berlari.

Satu hari si dia datang padanya dan kata si dia pada saat itu, berilah rasa itu kepadanya biar semua kesakitan hilang. Bolehkah begitu?


kata KK:

kisah tentang Malisa yang bekerja sementara sebagai pembantu peribadi di tumah orang kaya iaitu cik Puan Juita. Tempat itu menemukan dia dgn cucu bongsu cik Puan Juita iaitu Hafiz.

kesimpulan dari menunggu hujan: walau lari ke hujung dunia kalau sudah jodoh, ia tetap akan kembali jua.

sebenarnya untuk perjalanan keseluruhan cerita ini saya memahami cuma untuk penamatnya saya selalu keliru apa yang ingin adileah sampaikan. kerana maksud yang saya fahami tidak tercapai dengan apa yang adileah tafsirkan.

berpijaklah dibumi nyata..

dream...


The Dream of a Seagull
 
My foot does not separate from the ground,
I'm simply afraid,
I'm afraid to fly to the sky,
Because im used to the ground, I'm unfamiliar to the sky,
Do i have the wings,
Do i have the dreams of before?


poem ini ambil dari cerita Goong. berfikir. bertanya. adakah aku punya impian?
apakah impian itu? terasa seperti seagull itu. Tapi Hamza Namira mengajak dream with me my friend..
adakah kamu mahu bermimpi bersama aku?

Tuesday, July 05, 2011

cukupkah sebulan ini...???

julai dah datang. syaaban juga sudah menjelma.
julai adalah cuti semester.
bulan lepas, 3 minggu di bulan jun terasa macam terlalu laju.
terlalu jauh untuk dikejar. cukupkah masa ini...

sekali ditampar..
katakan adakah julai ini untuk kamu berehat-rehat?
adakah dengan rehat ini mampu untuk kamu bersedia  memberi jawapan pada hari esok.
terkedu.

selepas 3 minggu yang menggila.
tekanan yang buat jiwa makin kacau
otak tak mampu menghadam
waktu tidur tidak tentu
tiba-tiba ditempelak begitu

hati sendiri memujuk
ciri-ciri peribadi muslim - sihat tubuh badan
badan sihat - tidurnya cukup
otak mampu berfikir dengan rasional
bukan kacau bilau
sihat tubuh badan - selera makan bagus
perut tidak mengalami masalah penghadaman

hati lagi memujuk
take ur time and plan ur time and ur schedule
istilah saja cuti tapi targetnya banyak
berkampung saja dirumah tapi agenda banyak
sampai dia lupa
sampai dia leka
sungguh dia masih belum ketemu jawapan

siapa yang dapat berikan jawapan...

satu sahaja ciri-ciri peribadi muslim  dijadikan isu
adakah  ciri ini sudah kelihatan sempurna untuk muslim itu?
belum tentu sedangkan 9 ciri lagi mahu campak ke mana?

tetaplah optimis.
ALLAH tidak akan ubah nasib seseorang itu melainkan diri sendiri mahu berubah.

keputusan?

Saturday, June 11, 2011

sekejap

minta maaf utk cabaran 50 buku. berhenti untuk seketika.
currently almost 10 books i've read but didnt have time to write review about it.
inshaALLAH, by julai i post it all here. until kak wan penat nk review. har har har
by julai also, i might achieve this challenge. i think in july i will read 20 more books. *angkat kening double jerk*
so, by the end of this year i might read more than 50 books. wohoho! who knows. yeah!
semangat khaulah!!!

sepertimana semangat menyahut cabaran 50 buku tu...
currently situation im preparing for final exam.
within a week. but still lots assignment to do. not lots. only 4.
but still torture me. as all my classmate said arhictocture. hmmmm...

so, wish me luck. please pray for me.
and, kalau ada buat salah silap  terkasar bahasa mohon maaf semua.
YA ALLAH, permudahkan urusan ku ini.
SANGAT-SANGAT STRESS.
mode: sedang merajuk dgn housemate. sbb stress hati sgt nipis. huhu.

till then.

Saturday, May 28, 2011

KK: cabaran 50 buku: (12) sungguh aku cinta


Sungguh Aku Cinta
Anis Ayuni

Harga: RM 19.90
ISBN: 978-983-124-433-3
Halaman: ~512

kata kulit buku:

TIDAK pernah terlintas di fikiran Maira yang janji setia Azhan terhadapnya akan sirna. Sehabis daya Maira memujuk, tetapi lelaki itu tetap mahu menikahi Sofia. Dia ditinggalkan mengutip serpihan harapan yang sudah berkecai.

Maira bangkit mendepani takdir. Bukan serik untuk bercinta lagi, tetapi salam kasih Fajar dibiarkan sepi. Namun, kesungguhan lelaki itu mendamba cinta, perlahan-lahan melarutkan kedukaannya.

Azhan muncul kembali merayu cinta Maira. Dijaja rasa hati yang tidak bahagia untuk meraih simpati, sedangkan bagi Maira, kasih yang sudah terputus takkan ada sambungnya lagi.

Sekali lagi ketabahan Maira diuji apabila Fajar dipaksa membuat pilihan oleh ibunya. Maira pasrah pada takdir ILAHI. Dia menerima hakikat bahawa hidup ini bukan semata-mata kerana cinta...

sumber: alaf21 

kata KK:


pada awal permulaan cerita tentang maira dan fajar menarik. fajar yang sebenarnya mengambil langkah untuk berkenalan dgn maira. pertemuan mereka secara tidak sengaja ketika mereka menyertai aktiviti lasak. kerana mempunyai minat yang sama mereka disatukan. ringkas saja sinopsis dari penulis anis ayuni.


ulasan dari saya, gaya penulisan dan olahan cerita dari anis ayuni untuk novel ini masih seperti novelnya yang sebelumnya. biasa tapi watak maira dan fajar menarik hati saya. fajar yang setia dan tidak pernah putus asa. membaca novel ini santai dan tiada babak yang mendebarkan ada pun  ketika fajar mendaki gunung kilimanjaro namun kerisauan untuk terjadi apa-apa pada fajar sangat tipis. 

KK: cabaran 50 buku: (11) murabbi cinta

sumber:  kedai esastera

Tajuk : murabbi cinta

Pengarang :Hasrizal Abdul Jamil

Penerbit : Galeri Ilmu

ISBN : 978-983-097-259-6

Harga: RM25.00 (sem. M'sia) RM27.00 (S&S)

Mukasurat : 278 halaman

kata kulit buku:



sumber: surau rakan ar-rashidin

cinta menjadikan manusia suka disuruh. agar dengan cinta itu kita disuruh lagi disuluh. namun, cinta yang tidak ditentukan arahnya menjadikan tidak tentu arah. cinta menjadi penunduk kehambaan. hambalah manusia kepada sesama hamba, yang hakikat semuanya adalah hamba kepada nafsu dan diri.

buang emak. buang saudra.
kerana cinta yang bukan lagi cinta.

lautan api sanggup direnagi, ikrar pecinta yang sudah gila dibius cinta. hinga api neraka hilang gerunnya.

cinta semalam menjadikan umat Islam umat yang hebat. cinta hari ini menjadikan umat Islam luput tenggelam. sirna oleh cinta yang bukan lagi cinta.

justeru dalam medan yang pelbagai itu, ustaz ini memperjuangkan cinta.

cinta yang diteladani daripada seorang Nabi.

seorang Murabbi.
MURABBI CINTA.


kata KK:


pengalaman membaca buku ini adalah ketika hati tidak berapa tenang dalam tempoh sehari semalam tanpa sedar akhirnya menghabiskan buku ini. murabbi cinta yang buat saya banyak berfikir secara positif dan secara tidak langsung bagai menjawab persoalan-persoalan yang timbul sebelum ini. ustaz hasrizal mengajak untuk melihat cinta dari perpektif yang berbeza. penerangan yang ditulis oleh ustaz Hasrizal sangat jelas dan mudah difahami. malahan, segala yang diterangkan di dalam buku ini adalah lebih kepada praktikal. amalah seharian yang selalu kita lakukan. walaupun manusia itu tidak sempurna tapi buku ini menyedarkan kita untuk mejadi lebih baik dalam menyebarkan cinta.


walaupun buku ini berkisar tentang cinta tetapi tumpuannya bukanlah cinta antara lelaki dan wanita tetapi mendidik kita dengan cinta pada ALLAH, cinta pada manusia, cinta pada ibu bapa. cinta sebelum hadirnya seorang untuk kita katakan aku terima nikahnya. cinta yang dipupuk dalam tempoh kita membesar - iaitu sebagai anak. ibu bapalah yang bertanggungjawab mengajarkan kita tentang cinta.