Monday, August 01, 2011

KK: cabaran 50 buku : (25) Alahai Jijah!



Tajuk: Alahai, Jijah!
Penulis: Dihsar Ludba Haqifa
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 250 halaman
ISBN: 978- 967- 0201-09-2
Harga: RM 17 (Sem M’sia) / RM 19.00 (S&S)
                  
Kata kulit buku:
Abang Abu, bagi cendol dua!

“Tengah buat apa tu? Dah siap kemas rumah belum? Tak nampak macam istana pun rumah kita ni.”
“Istana apanya makcik? Kalau rumah dah diperbuat daripada kayu, kayu juga. Tak ada maknanya boleh jadi istana. Ini kira okey apa.”
“Yalah. Yalah. Dah, dah. Kau pergi masuk dapur. Sekejap lagi orang kaya tu nak datang. Nanti kalau mereka nampak muka kau, terus tak jadi nak masuk rumah kita. Maklumlah, orang hodoh memang tempatnya di dapur.”
“Amboi! Sedapnya menghina.”
“Apa kau cakap?”

Apakah benar kesudahan hidup seorang budak sepuluh tahun ini akan sentiasa didera oleh ibu dan kakak tirinya? Mungkinkah ada seseorang yang akan muncul dan mengoyak muka surat terakhir itu dan menulisnya semula supaya kesudahannya akan berakhir dengan kegembiraan?
Jangan harap.
Terlalu klise.

* * * *

DIHSAR LUDBA HAQIFA graduan universiti tempatan ini hanya gemar membaca hanya novel-novel Inggeris. Keputusan bahasa Melayunya pun atas pagar sahaja. Namun dia berjaya menyudahkan sebuah novel dalam bahasa ibundanya sendiri dengan jaya dan bergayanya;  ‘mustahil’ adalah perkataan hanya untuk ‘orang yang kalah’.

Kata KK:

Kesiannya dia seorang budak sepuluh tahun didera  oleh ibu tiri kemudian disuruh melakukan kerja-kerja rumah.  Dia seorang budak sepuluh tahun tetapi tempat tinggalnya yang layak dipanggil reban ayam. Dia seorang budak sepuluh tahun sanggup mengambil upah menebas lalang.  Kerana dia sabar, dia mendapat kembali kasih sayang yang telah hilang bersama kematian ayahnya. Akhirnya, dia mendapat haknya kembali. Dia kini boleh bergembira.

Apa yang tidak menarik, terlalu banyak dialog yang tiada makna. Apa yang tidak menarik, Alahai, Jijah terlalu drama. Seperti di kulit buku ini, jangan harap. Terlalu klise.  Teruja saya hilang bersama jijah. Jiji pula tergantung walaupun pengakhirannya memang tergantung tentang kakak tiri Jijah. 

Apa yang boleh saya katakan, perasan setelah menghabiskan Alahai, Jijah adalah penuh dengan perasaan terkilan…

Sunday, July 31, 2011

KK: cabaran 50 buku : (24) Maaf, Saya Bukan Bibik!



Tajuk: Maaf, Saya Bukan Bibik!
Penulis: Nashmin
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 340 halaman
ISBN: 978- 967- 0201-10-8
Harga: RM 17 (Sem M’sia) / RM 19.00 (S&S)
                  
Kata kulit buku:
bencinya pada mat ni...

Bahasa Melayu SPM tu ‘kacang’ baginya. Lalu dia luangkan masa baca majalah hiburan saja. Hasil: Bahasa Melayu – 9G. Dia nekad mahu ambil semula SPM, tapi dia kesian pada ibu yang sudah jadi balu. Mereka sekeluarga bukan orang berada, tinggal pun di rumah pangsa DBKL saja.

Dia perlu cari duit sendiri!

Peluang terbuka luas apabila ada kerja kosong jadi orang gaji di Selama, Perak. Tapi mampukah dia gadis Kuala Lumpur hidup jauh di pendalaman? Lebih-lebih lagi, anak lelaki majikan yang sudah bertunang itu sangat benci padanya. 

Bibikkkk!!! siang ikan bersih-bersih ya!!!

Kerenah Zaki yang memang seperti mahu menghalaunya itu buat Suhana jadi geram bercampur sedih. Perlu terus bertahan? Atau dia mengaku kalah sahaja dan katakan pada Zaki: Maaf, Saya Bukan Bibik!

* * * *
Ini memang novel pertama NASHMIN. Namun karyanya sudah memperlihatkan kematangan; dia menulis daripada hati yang jujur lagi polos. Pemilik ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu ini garap bahasa Melayunya dengan baik sekali, menarik dan bersahaja. Prinsipnya, ‘segala usaha dan kerja yang dilakukan kerana Allah maka akan dinilai sebagai ibadah’.

Kata KK:

Ceritanya, banyak-banyak subjek SPM, subjek Bahasa Melayu sahaja dia gagal. Lalu, dia pasrah dan menerima hakikat. Namun, dia kembali nekad untuk mengulang SPM. Disamping mengulang SPM, dia bekerja. Bekerja sebagai pembantu rumah di rumah saudara sahabat baiknya di hujung negeri Perak, Selama. Sambil bekerja sambil dia belajar. Beruntungnya dia mendapat majikan seorang guru. Guru Bahasa Melayu. Guru yang garang tetapi membantunya. Membantunya sehingga cemerlang. Sampai dia keluar di surat khabar.

Isu Suhana gagal matapelajaran Bahasa Melayu satu isu yang saya tidak puas hati dari sudut pemikiran rasional saya. Tetapi kalau sudah rezeki Suhana gagal untuk subjek itu tiada apa yang harus dipertikaikan lagi.  Malah, MSBB buat saya mengimbau kenangan waktu sekolah dahulu. Zaman SPM. Zaman kanak-kanak riang ria.

Hampir saja saya kecewa, takut-takut pengakhirannya tergantung seperti Blues Retro  tetapi penulis berjaya buat saya rasa lega. Walaupun kes Suhana dan Cikgu Zaki tidak saya berkenan tapi apakan daya rasa hati bukan dapat di duga. 

cinderella pun jadi bibikkan?

Saturday, July 30, 2011

KK: cabaran 50 buku : (23) Blues Retro

Tajuk: Blues Retro
Penulis: Imaen
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 351 halaman
ISBN: 978- 967- 0201-14-6
Harga: RM 17 (Sem M’sia) / RM 19.00 (S&S)
                  
Kata kulit buku:

... empat semester yang indah...
Nasi lemak buah bidara,
    Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
    Kerana kasih hamba turutkan.

“Ghazi, kita kahwin lari!” kata Nik Farhana.
Hampir tersembur jus tembikai daripada mulut Ghazi.
“Apa dia?”
“Kita kahwin lari.” Suara Nik Farhana berbunyi serius.
“Hana jangan main-main!”
“Saya serius ni!”

Berjayakah Ghazi, siswa antropologi dan Nik Farhana, siswi perubatan di Universiti Lembah Pantai kahwin lari ke sempadan Siam?

* * * *
IMAEN memang diakui pembacanya sebagai penulis yang punya bahasa yang mantap lagi tajam. Kini lulusan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya beralih arah, bertekad mahu memperkenalkan semula sastera remaja yang indah dan berisi pada generasi MTV dan Facebook.

Kata KK:

Kisah cinta Ghazi dengan Nik Farhana. Cinta zaman 90-an. Kisah perniagaan Ghazi. Kisah cinta dua darjat. Ghazi anak miskin manakala Nik Farhana anak orang kaya. Ghazi anak muda bersama temannya membuka gerai burger untuk mendapatkan wang untuk terus sambung belajar. Perniagaan makin maju tetapi kisah cinta tidaklah semaju perniagaannya. Ada saja halangannya. Sedihnya, apabila Ghazi dibuang kolej kerana ikut demonstrasi. Sedihnya, Ghazi dan Nik Farhana tidak kahwin lari. Sedihnya, pengakhirannya tergantung.

Menariknya, idea innovatif dari Ghazi dan temannya dalam mempertingkatkan mutu burger mereka.  Ghazi kata burger mereka burger orang kampung. Dijual hanyalah di gerai bukan restoran berhawa dingin seperti A&W ataupun Mc Donalds. Walaupun begitu burger mereka orang suka. Burger mereka masak ramai yang beli.

Kesimpulannya, saya terkedu. Terkedu sebab beli buku ini dari penulisnya sendiri.  Ha-ha. Perasan. Ya, saya beli ketika di pesta buku waktu tu penulisnya yang jaga kaunter bayaran. Jadi, saya hilang kata-kata untuk membuat ulasan lebih-lebih untuk Blues Retro. Yang pasti, seronok mengimbau zaman belajar dulu-dulu sebab zaman sekarang sudah makin moden. Makin maju. Makin canggih.

Saya juga ada kenangan yang menarik di UM!

Friday, July 29, 2011

warna

kata biru itu mendamaikan..
tenang...
tapi biru juga menyedihkan..

kata merah itu berani...
tapi merah juga melukakan..

lagi?

sambung la..

KK: cabaran 50 buku : (22) 3 kali Seminggu


Tajuk: 3 Kali Seminggu
Penulis: Dr. Faisal Tehrani
Terbitan: Ameenbooks
Muka surat: 198 halaman
ISBN: 978- 967-362-058-6
Harga- RM 19.00 (Sem M’sia) / RM 21.00 (S&S)

Kata kulit buku: 

Tiga Kali Seminggu memperihalkan seorang ustaz kacak lagi petah yang mengajar kuliah tafsir, tajwid dan fiqah sebanyak tiga kali seminggu di sebuah kampong. Ramai yang tertarik dan terpesona. Ramai yang khuysuk sungguh-sungguh, ramai juga yang berpura-pura khsyuk, tidak kurang yang menggeliang-geliut tergedik-gedik cuba menarik perhatian

“ustaz, haramkah kalau saya memeluk-meluk bantan dan mengandaikan ia suami saya?”
Ustaz Agil semacam gamam sekejap. Serasa dada berdebur akan pecah. Belum pernah dia ditimpa soalan fiqah seperti ini.

Tiga Kali Seminggu merupakan salah satu cerita pendek dalam buku ini.

15 buah cerita pendek Faisal Tehrani –mengundang rasa syahdu,lucu,pilu- membawa sindiran, peringatan, kekuatan semangat dan tanda Tanya.

Kata KK:

Dikulit buku tertulis 15 cerpen yang mencabar minda. Ya, sungguh mencabar minda dari Dr. Faisal Tehrani. Setiap cerpen mempunyai isu yang diketengahkan seperti isu Bahasa Melayu, isu ekonomi, isu kekerasan dan anti-kekerasan dan sebagainya. Kerana isu-isu yang berat ini buat saya lambat untuk menghabiskan 3 Kali Seminggu ini. Setiap satu cerpen itu saya perlu hadam terlebih dahulu sebelum melangkah ke cerpen yang lain. Bagi saya, Faisal Tehrani pandai mengolah sesuatu isu di dalam cerpennya. Contoh isu memperjuangkan Bahasa Melayu diolah sebagai sebuah kisah cinta antara dua darjat. Ada juga isu yang berat diolah dalam keadaan santai. Di samping itu juga ada unsure sinis yang tidak keterlaluan dalam cerpennya.

Antara cerpen yang member impak kepada saya adalah cerpennya yang terakhir iaitu gawat. Cerpen yang mengisahkan gempa bumi yang berlaku di Malaysia walaupun ia agak mustahil dengan kedudukan geografinya namun Faisal Tehran menjadikan situasi ini benar-benar berlaku dan saya dapat membayangkan bagai menonton berita sahaja.

Selain itu, ada satu cerpen yang menarik dan saya rasa ia comel iaitu cerpen tentang haiwan menulis surat kepada khalifah tentang kerosakan yang dilakukan ke atas bumi.

Setiap cerpen FT dirasakan saya seperti mengembara dari satu tempat ke satu tempat dari Malaysia hingga Negara lain kemudian kembali ke Malaysia. Dari sebelum merdeka hingga selepas merdeka seperti menaiki mesin merentasi masa kepunyaan Doraeman sahaja. Hi-hi.

Segala maklumat setiap cerpennya sangat padat merangkumi semua aspek sepertinya FT sangat pakar setiap apa yang disampaikan di dalam cerpennya.

Macam sebuah ensiklopedia!

Thursday, July 28, 2011

KK: cabaran 50 buku : (21) Maaf Dari Sorga


Tajuk: Maaf Dari Sorga
Penulis: Faisal Tehrani
Terbitan: Ameenbooks
Muka surat: 176 halaman
ISBN: 978-983-3991-87-7
Harga: RM 16.00

Kata kulit buku:

Rumah nombor 33 menyimpan pelbagai misteri dan dianggap berhantu. Penyewanya silih berganti dan kebanyakan mereka menemui kecelakaan.

Penyewa terbaru, Hakiki, seorang pegawai bank berfikiran liberal bersama isterinya yang mualaf, turut diganggu peristiwa aneh dan menakutkan. Rumah tangga yang aman mulai keruh dan si isteri kembali ke Negara asal, kemudian terperangkap dalam taufan ganas yang mengancam jiwa dan kandungannya.

Mungkinkah gangguan- gangguan itu disebabkan oleh dosa-dosa Hakiki yang disembunyikan sekian lama? Apakah ada kemaafan dari sorga buat mereka?

Kata KK:

Kisah rumah 33 yang penuh misteri , penghuni terbaru adalah sepasang suami isteri iatu Hakiki dan sarah yang baru sahaja pulang ke tanah air. Pada awalnya mereka tidak mengetahui sejarah rumah 33, namun setelah menduduki rumah itu, Hakiki dan Sarah mula mengalami gangguan.  Kerana gangguan itu adalah salah satu faktor menyebabkan Hakiki dan Sarah berubah ke arah lebih baik yang mana Sarah merupakan soerang mualaf. Dia mula mempelajari islam dengan lebih mendalam. 

Mesej yang disampaikan oleh penulis terang dan jelas. Tentang isu riba, kalimah syahadah daan solat serta aurat. Mesej yang dikhabarkan dalam Maaf dari Sorga sangat bersahaja dengan adanya watak Dina, Pak Idi dan Ustaz Wan Adlin. Kesedaran Hakiki sebagai seorang yang perlu membimbing Sarah dan kesedaran Sarah perlu menambahkan ilmu tentang Islam. Gangguan yang dialami oleh Sarah dan Hakiki diceritakan sebagai tazkirah dan peringatan oleh makhluk-makhluk lain kepada penghuni rumah 33. Sekirangnya mereka tidak menghiraukan gangguan tersebut maka mautlah jadi taruhan tetapi sekiranya setelah mendapat gangguan mereka berubah kea rah kebaikan itulah yang sebaiknya. 

Biasanya cerita gangguan seperti ini sangat menakutkan untuk dibaca, namun gangguan yang digarap oleh Faisal Tehrani dari perspektif yang berbeza iaitu dari sudut yang lebih baik dan memberi kesedaran bukan membuatkan bulu makin meremang dan tidur tak lena kalau dibaca malam-malam.  Menarik, tertarik.

Wednesday, July 27, 2011

KK: cabaran 50 buku : (20) Dari Jendela Ainur



Tajuk: Kaca Jendela Ainur
Penulis: Diya Nordin
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 414 halaman
ISBN: 978-967-5118-51-7
Harga: RM 18.00 (Sem M’sia) / RM 21.00 (S&S)

Kata Kulit Buku:

Seumur hidupnya, dia hanya mahu memenangi hati Syuhairah, mama yang sangat dia rindu walau wujudnya di depan mata. Dari kecil dia sering tertanya-tanya, kenapa dia bagaikan halimunan pada mata mama!

Ainnur Shahirah tidak pernah kenal siapa ayahnya. Sangkanya, apabila bertemu ayah, kurang-kurang dia punya kasih seorang bapa. Tapi dia salah. Ayah seperti mama. Tidak pernah menerimanya sebagai anak.
Dia menjadi daki dalam keluarga. Dia sedar duduk dirinya. Dia akhirnya pasrah, kasih mereka bukan untuknya. Dia harus pergi agar mama dan ayah bahagia dengan keluarga sendiri.

Kata Zhafran, “Ainnur bukan sekadar kejam pada Tok Mama dan Tok Baba. Tapi juga Uncle Luqman. Salah ke mereka hingga turut terhukum?”

Apa yang Zhafran tahu?

Semuanya dia yang tanggung. Rasa pedih, terluka. Semuanya ditelan sendiri. Dia sudah sehabis daya mencuba. Dia pergi pun atas kehendak mereka, jadi apakah dia yang kejam?

Kata KK:

Kisah Ainnur Shahirah yang tidak diakui sebagai anak oleh mama dan ayahnya namun kehadirannya dihargai oleh uncle papa dan uminya. Ainnur Shahirah makin dewasa mula hidup berdikari setelah kehadirannya bagaikan tidak wujud oleh mamanya sendiri. Dia kemudian melanjutkan pelajaran ke UUM dan menyertai program bakti siswa – iaitu program anak angkat. Dari situ dia dipertemukan dengan Tok Mama dan Tok Babanya iaitu ibu bapa kepada mamanya. Kerana terluka, Ainnur Shahirah membawa diri ke UK setelah mamanya sedar dari koma akibat kemalangan. Atas dasar tanggungjawab, Zhafran menerima Ainnur sebagai isterinya kerana baginya kalau hanya dengan mengahwini Ainnur dapat mendekatkan Ainnur degna keluarga dia sanggup terima. 

Bagi saya cerita yang dicoretkan oleh Diya Nordin ini sangat melankolik. Perjalanan kisah hidup Ainnur ini sangat mendatar walaupun ada kejadian yang tak disangka namun tidak terasa. Ainnur Shahirah yang sedih dan hanya focus pada pelajaran, tidak ad sedikit sikap memberontak apabila dibiarkan oleh ibu bapa sendiri. Bagi saya, walaupun Ainnur Shahirah terlalu baik tetapi sebagai anak terbuang, Ainnur boleh bersikap memberontak sedikit bukan menerima sahaja atas tindakan dan layanan ibu bapanya. Malah usahanya untuk berbaik dengan mamanya masih belum cukup apatahlagi usaha untuk dia berbaik dengan ayahnya.
Untuk lebih jelas, masalah Ainnur perlu diceritakan diawal novel atau bairkan ia menjadi suspen dan kadang-kadang terlalu bosan apabila membaca masalah yang dihadapinya berulang kali.

Watak Zhafran, Ikhwan dan Alia sedikit memberi keceriaan dalam novel ini manakala Luqman terlalu lambat.
Untuk keseluruhan cerita, Kaca Jendela Ainnur mengingatkan tentang tanggungjawab anak dan tangungjawab ibu bapa.  Walaupun kesilapan masa lalu itu pahit tetapi seharusnya kita menerima dan memperbaiki untuk menjadi lebih baik.